ADUN Sugut dipecat UMNO selepas sertai Gagasan Rakyat

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib mengesahkan beliau dipecat daripada UMNO selepas menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Beliau kini memegang jawatan sebagai Ketua Penaja Bahagian Sugut selepas penyertaannya dalam Gagasan Rakyat.

"Saya tidak terima apa-apa surat (pemecatan) cuma mereka cakap saja tetapi memang saya tahu saya dipecat dan saya pun memang mahu keluar (UMNO) juga," katanya ketika ditanya pemberita mengenai pemecatannya daripada UMNO baru-baru ini.

Beliau sebelum itu ditemui pemberita ketika hadir pada Majlis Berbuka Puasa Sabah Invest Berhad di sini pada malam Selasa.

Katanya lagi, mengenai kemasukannya dalam Gagasan Rakyat, perkara itu sudah selesai dan proses mengenainya berjalan lancar.

"Saya sudah isi borang malah saya kini adalah Ketua Bahagian Sugut," katanya.

Sebelum itu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar memaklumkan tiga ADUN Sabah yang sebelum ini ahli UMNO-Barisan Nasional (BN) telah dipecat daripada parti.

Tiga ADUN berkenaan selain James ialah ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari dan ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya.

Sementara itu, ADUN Tanjung Keramat yang juga Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya digantung keahlian dalam UMNO selama enam tahun.

Kesemua mereka dikenakan tindakan selepas menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah selain telah menyertai Gagasan Rakyat yang dipimpin Hajiji.

Dalam perkembangan lain, James yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah memaklumkan belum menerima sebarang aduan mengenai harga barang atau bekalan berkurangan di negeri ini.

"Dari segi bekalan setakat ini semuanya mencukupi cuma kita memantau dari segi harga supaya stabil dan tidak dinaikkan.

"Saya akan keliling semua kawasan walaupun pada hari raya nanti untuk pastikan harga barangan tidak dinaikkan dan bekalan barang makanan mencukupi," katanya.

Ditanya mengenai isu telur, beliau mengakui ketika ini hanya telur berkualiti tinggi yang ada di pasaran.

"Perkara ini sedang dibuat kajian sebab kebanyakan peniaga ini lebih suka jual telur Omega kerana harganya yang mahal.

"Memang mahal tetapi kerajaan juga ada berikan subsidi, jadi terpulang kepada rakyat untuk memilih," katanya.

Sebelum ini, tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan pasar raya di sekitar Kota Kinabalu hanya menjual telur Omega yang harganya lebih mahal berbanding telur biasa.