Nilai ringgit susut berbanding dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada sesi awal dagangan hari ini. - Foto hiasan
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada sesi awal dagangan hari ini. - Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal dagangan hari ini kerana mata wang tempatan itu masih dalam kedudukan terlebih beli menjelang kenaikan kadar faedah yang dijangkakan pada Mei ini, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.18 pagi, mata wang tempatan berada pada paras 4.4350/4380 berbanding dolar AS daripada kadar penutup Isnin pada 4.4200/4250.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka lemah hari ini, dalam sekitar RM4.42 hingga RM4.43 berbanding dolar AS dengan petunjuk teknikal menunjukkan ringgit berada dalam keadaan terlebih beli.

"Paras rintangan semasa adalah pada RM4.4236 dan dolar AS/ringgit mungkin berlegar dalam paras sedemikian," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, hasil Perbendaharaan AS lebih tinggi dengan hasil dua tahun yang berkait rapat dengan kadar faedah meningkat lebih daripada sembilan mata asas kepada 4.19 peratus berikutan jangkaan Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menyambung semula dasar untuk mengetatkan kadar faedah pada Mei apabila mengadakan pertemuan yang seterusnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding yen Jepun kepada 3.2974/3001 daripada 3.2968/3008 pada penutup Isnin, meningkat kepada 4.8448/8481 daripada 4.8532/8587 berbanding euro dan turun berbanding pound Britain kepada 5.4861/4898 daripada 5.4808/4870 semalam.

Pada masa yang sama, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang Asean, kecuali peso Filipina yang tidak berubah pada 7.91/7.92 daripada 7.91/7.93 pada Isnin.

Ringgit menyusut nilai berbanding rupiah Indonesia kepada 299.7/300.1 daripada 298.7/299.2, rendah sedikit berbanding baht Thailand pada 12.8607/8750 daripada 12.8604/8813 dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3233/3258 daripada 3.3196/3238 semalam. - Bernama