Kebakaran di Beris Lalang: JAS kenal pasti pemilik tanah

Keadaan kebakaran di Kampung Beris Lalang, Bachok ketika tinjauan pegawai JAS pada Isnin.
Keadaan kebakaran di Kampung Beris Lalang, Bachok ketika tinjauan pegawai JAS pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan sudah melakukan carian rasmi di Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok bagi mengenal pasti pemilik tanah yang menyebabkan kebakaran sehingga 50 hektar tanah di Kampung Beris Lalang, Bachok.

Usaha itu bagi membolehkan tindakan perundangan diambil di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menurut Pengarah JAS Kelantan, Wan Aminordin Wan Kamaruddin, jabatan itu juga mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka untuk negeri Kelantan selain menggerakkan Pasukan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) dengan melakukan pemeriksaan harian di semua kawasan tanah gambut yang mudah terbakar.

"JAS negeri turut mengaktifkan Prosedur Tetap Operasi (PTO) Melaksanakan Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut.

"Melalui PTO ini, Jabatan Mineral dan Geosains telah mengepam air daripada telaga tiub ke parit-parit berhampiran bagi kegunaan operasi pemadaman oleh pihak bomba dan mengekalkan kelembapan tanah," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Sebelum itu, beberapa pegawai JAS melakukan pemantauan di kawasan kebakaran bersama pegawai bomba dan Jabatan Mineral dan Geosains.

Beliau turut memaklumkan, di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambah beliau, kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan ke atas setiap kesalahan.

"Di bawah peruntukan ini, pemilik tanah juga boleh dikenakan tindakan sekiranya mendapati pembakaran terbuka berlaku di dalam kawasan tanah miliknya," katanya.

Media pada Ahad melaporkan kebakaran di Beris Lalang, Bachok sejak akhir Mac lalu semakin merebak sehingga 50 hektar.

Kejadian itu dikesan pada 27 Mac lalu melibatkan tanah gambut seluas lima hektar sahaja dan sehingga kini keadaan di lokasi masih berasap dan belum padam sepenuhnya.