Pembakaran terbuka penyumbang jerebu - JAS Kelantan

Keadaan jerebu di Jalan Kubang Kerian-kota Bharu kira-kira jam 3.30 petang Isnin.
Keadaan jerebu di Jalan Kubang Kerian-kota Bharu kira-kira jam 3.30 petang Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebih 100 di dua daerah di Kelantan iaitu di Kota Bharu dan Tanah Merah adalah disebabkan oleh cuaca panas dan aktiviti pembakaran terbuka yang menyumbang kepada keadaan berjerebu.

Berdasarkan laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), pada Ahad, IPU Tanah Merah telah mencatatkan bacaan 103 manakala Kota Bharu ialah 109 yang dikategori sebagai tidak sihat.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Kelantan, Wan Aminordin Wan Kamaruddin berharap orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka yang menjadi faktor kemerosotan kepada kualiti udara.

Menurut beliau, di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

"Di bawah peruntukan ini, pemilik tanah boleh dikenakan tindakan sekiranya mendapati pembakaran terbuka berlaku di dalam kawasan tanah miliknya," katanya.

Wan Aminordin meminta kerjasama orang ramai untuk memadam kebakaran kecil serta melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol, 1-800-88-2727.

Orang ramai juga boleh melihat terus bacaan IPU dan maklumat terkini status udara melalui laman portal JAS di alamat: www.doe.gov.my dan melalui aplikasi telefon pintar ‘MyIPU’.