Dana fidusiari disalah guna 1MDB - Saksi

Kevin Michael Swampillai hadir sebagai saksi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi sambungan prosiding perbicaraan kes 1MDB yang dihadapi Najib. - Foto Bernama
Kevin Michael Swampillai hadir sebagai saksi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi sambungan prosiding perbicaraan kes 1MDB yang dihadapi Najib. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa dana fidusiari disalah guna oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat berkaitan.

Saksi pendakwaan ke-44, Kevin Michael Swampillai berkata demikian semasa soal balas oleh peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB, membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Kevin, 59, berkata ya, apabila Muhammad Shafee mencadangkan bahawa pada asasnya, dana fidusiari boleh digunakan atau disalahgunakan dengan betul.

“Dana fidusiari merupakan ciri biasa dalam perbankan, tetapi ia juga bergantung pada cara dana itu distrukturkan.

“Timbul satu ‘perasaan’ di kalangan beberapa rakan sekerja saya, bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan wang itu, mungkin juga ia telah dimasukkan ke dalam ‘poket’ orang lain dan itulah yang berlaku,” kata saksi itu.

Dalam pada itu, Kevin berkata, Bank BSI tidak memfailkan laporan transaksi mencurigakan kepada polis republik itu meskipun urus niaga dana fidusiari berskala besar disalah guna oleh syarikat pelaburan strategik negara ini.

Menurutnya, urus niaga 1MDB serta syarikat-syarikat yang berkaitan dengannya menimbulkan tanda-tanda amaran atau ‘red flag’ kerana ia melibatkan individu yang terdedah secara politik di Malaysia.

“Kebiasaannya kerajaan terlibat memilih bank komersial atau bank pelaburan bagi urus niaga fidusiari, bukan bank yang lebih kecil secara relatif.

“Bank BSI tidak memfailkan laporan tersebut kerana isu berkaitan tanda amaran tidak dibangkitkan oleh lembaga pengarah 1MDB,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shafee menyoal saksi terbabit berhubung bayaran yang dibuat oleh 1MDB kepada pihak bank Singapura tersebut.

Bekas pegawai bank itu berkata, bank berkenaan memperoleh sekitar AS$250 juta dan ia tidak termasuk bayaran yang dibuat oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan keluarganya.

Beliau berkata, 1MDB dan syarikat berkaitan menyumbang kira-kira 10 peratus kepada pendapatan bank.

Dalam prosiding lalu, Kevin memberitahu mahkamah bahawa beliau menganggap Najib mengetahui urus niaga dana fidusiari oleh 1MDB dan tiga syarikat berkaitan membabitkan pindahan wang dalam jumlah yang besar kepada pelbagai penerima.

Melalui urus niaga dana fidusiari itu katanya, sejumlah besar wang yang dipindahkan tidak diletakkan dalam deposit, sebaliknya disalurkan kepada pelbagai penerima yang tidak diketahui identitinya.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa.