Pembeli bertuah bawa pulang Proton Persona

Muhamad Sharul Aiemi bergambar bersama replika kunci dan kereta yang dimenanginya sempena cabutan nombor bertuah Melaka Grand Ramadan Bazar @Jalan Hang Tuah (MELGRAB) di sini, pada malam Ahad.
Muhamad Sharul Aiemi bergambar bersama replika kunci dan kereta yang dimenanginya sempena cabutan nombor bertuah Melaka Grand Ramadan Bazar @Jalan Hang Tuah (MELGRAB) di sini, pada malam Ahad.
A
A
A

MELAKA - Tuah berbelanja lebih RM800 di bazar Aidilfitiri melayakkan seorang konstabel dari Lorong Pandan di sini, memenangi hadiah utama cabutan nombor bertuah sebuah kereta Proton Persona.

Anak sulung daripada tiga beradik, Muhamad Sharul Aiemi Abdullah, 21, menyifatkan kemenangan itu satu rezeki yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya, lebih-lebih lagi di saat Syawal bakal tiba.

Menurutnya, kemenangan itu juga mungkin berkat doa ibu bapa yang memintanya mengisi borang penyertaan cabutan nombor bertuah selepas berbelanja di Melaka Grand Ramadan Bazar @Jalan Hang Tuah (MELGRAB), awal bulan ini.

"Saya pertama kali ke bazar ini untuk belikan adik-adik baju raya, bunga api dan kelengkapan lain.

"Kebiasaan kalau saya dapat borang penyertaan seperti itu saya akan abaikan dan buang kerana tahu sukar dan mustahil untuk menang.

"Namun selepas selesai membeli-belah, mak ayah begitu teruja dan minta saya isi borang penyertaan tersebut dan tak sangka percubaan kali pertama ini berjaya," katanya yang bertugas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Air Hitam, Jempol, Negeri Sembilan.

Muhamad Sharul Aiemi mencuba duduk di tempat duduk pemandu kereta Proton Persona itu.
Muhamad Sharul Aiemi mencuba duduk di tempat duduk pemandu kereta Proton Persona itu.

Muhamad Sharul Aiemi berkata, dia terkejut apabila dua hari lalu dihubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy yang memaklumkan dia adalah pengunjung paling bertuah di bazar berkenaan pada tahun ini.

"Pada awalnya disangkakan panggilan scammer, tapi bila saya pulang ke rumah dan melihat siaran langsung di aplikasi TikTok, baharu saya percaya nama saya disebut sebagai pemenang hadiah utama," katanya lagi.

Dia yang telah menamatkan kursus polis sejak tiga bulan lalu, pernah berhasrat untuk memiliki sebuah kereta bagi kemudahan mereka sekeluarga, memandangkan kereta Perodua Myvi milik bapanya yang sedia ada telah lama.

"Rupanya begitu cepat ALLAH makbulkan impian saya, dan raya ini dapat kami sekeluarga pulang berhari raya di Muar Johor dengan menaiki kereta baharu yang lebih selesa," ujarnya.

Replika kunci kereta disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk seri Ab Rauf Yusoh pada program perasmian bazar itu yang turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.