KBS teliti program pembangunan sukan Jepun

Hannah (tiga dari kiri) mengadakan perbincangan mengenai proses pembangunan sukan di Jepun. - Foto Facebook KBS
Hannah (tiga dari kiri) mengadakan perbincangan mengenai proses pembangunan sukan di Jepun. - Foto Facebook KBS
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan meneliti program pembangunan dan sistem sokongan atlet di Jepun dalam usaha memantapkan arena sukan negara.

Menterinya, Hannah Yeoh mengetuai delegasi Jawatankuasa Road To Gold (RTG) berada di negara matahari terbit itu untuk berkongsi pengalaman Jepun berjaya melahirkan pemenang pingat emas Olimpik.

Bagi merealisasikan impian itu, delegasi RTG mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Jepun (JSC) di Pusat Sukan Berprestasi Tinggi Jepun.

Perbincangan bersama JSC memberi tumpuan kepada struktur pentadbiran dan pembangunan sukan daripada peringkat akar umbi sehingga pasukan kebangsaan, strategi untuk meningkatkan prestasi atlet dan ekosistem pembangunan atlet.

"Delegasi RTG turut berpeluang melihat atlet Olimpik dan atlet Paralimpik berkongsi tempat latihan serta fasiliti lain.

“Kedua-dua pihak turut membincangkan untuk mewujudkan kerjasama dalam penyelidikan sukan, perubatan, sains dan teknologi serta pertukaran kaedah pembangunan bakat sukan.

“Jawatankuasa RTG akan meneliti perbandingan sistem sokongan atlet di Jepun dan Malaysia. Penemuan jawatankuasa akan diberikan perhatian oleh KBS,” catat KBS menerusi Facebook pada Ahad.

Delegasi Jawatankuasa RTG turut mengadakan perbincangan bersama Dr Etsuko Ogasawara di Universiti Juntendo, Tokyo.

Sesi perbincangan memfokuskan kepada penglibatan wanita dalam sukan, pembangunan jurulatih wanita dan Persidangan Wanita ASEAN dalam Sukan 2023 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur.

“Dr Etsuko Ogasawara juga berkongsi pengalaman dan cabaran beliau dalam membangunkan komponen wanita dalam sukan di Jepun,” ujar kenyataan itu.

Ahli jawatankuasa lain yang menyertai lawatan itu ialah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Selain itu turut serta, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli dan penyelaras RTG, Stuart Ramalingam.

Hannah serta Mohamad Norza yang merupakan pengerusi bersama RTG.