Fazura tolak tawaran watak 'penyondol'

Fazura bersama peminat yang membeli pakaian di reruai pakaian dan tudung Fazura.
Fazura bersama peminat yang membeli pakaian di reruai pakaian dan tudung Fazura.
A
A
A

PELAKON dan usahawan, Fazura kini lebih selesa untuk bergerak di bawah syarikat produksinya, Fazura Pictures Sdn Bhd.

Pemilik nama sebenar, Nur Fazura Sharifuddin berkata, dia tidak mahu lagi melakonkan watak yang klise dan mengguris wanita termasuk kisah perampas dan punca kemusnahan rumah tangga.

Isteri kepada pelakon, Fattah Amin itu juga mengakui masih menerima tawaran berlakon tetapi watak yang diberikan tidak sesuai.

"Kebanyakan skrip membosankan kerana berkisar penyondol dan perebutan lelaki antara dua wanita," katanya kepada media selepas Program Perhimpunan Terbesar Pakaian Tradisional Melayu di AEON MALL sini pada Sabtu.

Program berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Zuraidin Abdullah. Turut hadir sama, Fattah Amin.

Fazura (kiri) bersama peminat dan tetamu utama pada Program Perhimpunan Terbesar Pakaian Tradisional Melayu pada Sabtu.
Fazura (kiri) bersama peminat dan tetamu utama pada Program Perhimpunan Terbesar Pakaian Tradisional Melayu pada Sabtu.

Fazura terus berpegang kepada prinsip untuk memartabatkan maruah wanita kerana tidak semua bersikap sama seperti yang dipaparkan melalui drama atau filem.

Bekas pelakon Gol & Gincu itu yakin melalui Fazura Pictures dapat menerbitkan karya berbeza selain dapat berlakon mengikut kehendak sendiri.

Bagaimanapun dia mengakui selesa berlakon dengan semua genre filem tetapi mampu memberi manfaat kepada penonton.

"Sejujurnya banyak cerita yang dipaparkan kini mengarut dan tiada mesej," katanya.

Berkongsi jenama tudungnya yang semakin laris, Fazura bakal menghasilkan tudung lebih besar dan selendang bagi memenuhi permintaan peminat.

"Alhamdulillah saya diberi peluang berkongsi rezeki bersama ejen dan peniaga dalam talian dan berharap usaha ini dapat memberi manfaat kepada lebih ramai individu," katanya.

Sementara itu, jurucakap AEON MALL berkata, mereka menerima 4,271 peserta pakaian tradisional yang mendaffar di pasar raya itu.

Jumlah itu membolehkan AEON MALL Kota Bharu menerima pengiktirafan Malaysian Book Of Record.