Rakyat Melaka bersatu baca al-Quran

Sebahagian peserta termasuk pelajar sekolah yang menjayakan program itu.
Sebahagian peserta termasuk pelajar sekolah yang menjayakan program itu.
A
A
A

MELAKA - Penganjuran program World #QuranHour di negeri ini memberi peluang kepada warga Melaka bersatu mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran serta menyemarakkan Ramadan yang berbaki beberapa hari lagi.

Ketua Seksyen Dakwah dan Tarbiah, Bahagian Pengurusan Dakwah, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Murad Ahmat berkata, tanpa mengira latar belakang dianggarkan seramai 2,000 berkumpul di ruang solat Masjid Al-Azim di sini pada Khamis bagi menjayakan program itu termasuk pelajar sekolah dan kakitangan kerajaan.

Murad
Murad

Menurutnya, program bertemakan 'memanusiakan ummah' dengan mengangkat Surah Al-Insan melalui agenda Humanising the Home, Humanising the Workplace, Humanising the Nation serta Humanising the World.

"Ini salah satu usaha kita membudayakan bacaan al-Quran dan melalui sesi tadabbur surah itu kita berharap dapat melahirkan manusia yang lebih berakhlak dan tidak mementingkan diri.

"Alhamdulillah setiap kali penganjurannya, kita mendapat sambutan positif pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri yang sentiasa memberikan galakan," katanya kepada pemberita selepas program World #QuranHour di Masjid Al-Azim di Bukit Palah di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, Toh Puan Asmah Ab Rahman dan Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat.

Toh Puan Asmah (lima dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan khatam al-Quran sempena World #QuranHour di Masjid Al-Azim Bukit Palah pada Khamis.
Toh Puan Asmah (lima dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan khatam al-Quran sempena World #QuranHour di Masjid Al-Azim Bukit Palah pada Khamis.

Sementara itu, Penyelaras Rumah Ngaji Melaka, Nur Atikah Amir berkata, program dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dijayakan bersama pelbagai pihak termasuk JAIM, pihak masjid dan penduduk setempat.

"Selain lokasi utama ini, sepuluh Rumah Ngaji di lokasi masing-masing negeri ini turut melakukan program yang sama secara serentak.

"Dengan bertemakan itu kita berusaha untuk merealisasikan misi masuk syurga sekeluarga," katanya.