Nafi hak ahli pertubuhan peladang: PPN Perak

Nadzri menjelaskan PPN Perak membantah pelaksanaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan 2019) yang akan dikuatkuasakan 1 Mei ini.
Nadzri menjelaskan PPN Perak membantah pelaksanaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan 2019) yang akan dikuatkuasakan 1 Mei ini.
A
A
A

IPOH - Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak membantah pelaksanaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 kerana disifatkan tidak adil kepada ahli-ahli pertubuhan itu.

Pengerusinya, Datuk Nadzri Ismail berkata, dalam pindaan itu memperlihatkan kuasa diberikan kepada menteri untuk melantik beberapa individu di dalam Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), PPN dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Menurutnya, pindaan tersebut tidak mencerminkan amalan demokrasi yang menjadi teras kepada pentadbiran kerajaan Malaysia baharu sepert dilaungkan.

"Pelantikan jawatankuasa Unit, AJP PPK, AJP PPN dan AJP Nafas perlulah dipilih berdasarkan sistem pemilihan secara demokrasi yang diamalkan oleh pertubuhan peladang selama ini.

"Pertubuhan peladang bukanlah sebuah agens GLC (anak syarikat kerajaan) yang ditubuhkan kerajaan. Pertubuhan peladang ditubuh dan digerakkan seperti sebuah koperasi yang mana AJP dipilih di kalangan ahli-ahli yang juga pemegang saham di pertubuhan peladang," katanya pada sidang media di Pejabat PPN Perak, di sini, hari ini.

Nadzri berkata, kewujudan semula ahli lantikan oleh menteri di dalam AJP PPK, PPN dan Nafas disifatkan keterlaluan apabila ada kuota lantikan melebihi jumlah lantikan oleh perwakilan.

Katanya, dalam peraturan sebelum ini menerusi arahan Pendaftar Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Bil 1/2016, bagi PPK dan PPN, kesemua lantikan AJP dibuat melalui mesyuarat agung dan hanya Nafas mempunyai enam orang dipilih oleh menteri.

"Selama ini kerajaan hanya menjadi rakan kongsi kepada PPK dan PPN. Segala urusan perniagaan pertubuhan diuruskan sendiri tanpa campurtangan menteri.

Artikel Berkaitan:

"Lebih malang lagi pindaan yang dibuat tanpa ada sebarang perbincangan langsung di antara kementerian, LPP dengan pemimpin pertubuhan peladang di peringkat kebangsaan, negeri dan kawasan," katanya.

Menurut Nadzri, pihaknya meminta kerajaan meneliti semula perkara itu kerana tidak dibincangkan secara menyeluruh dan dibuat secara tergesa-gesa demi kepentingan parti politik tertentu.

Katanya, sebagai ahli yang mempunyai pegangan saham di dalam pertubuhan, mereka berhak menentukan AJP yang akan menguruskan organisasi.

Beliau berkata, sebagai mewakili 30 PPK yang mempunyai 103,053 ahli seluruh Perak, pihaknya mahu pindaan tersebut dibatalkan atau ditangguh bagi memastikan perjalanan pertubuhan tidak terganggu.

Menerusi Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 22 April 2019, Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 menetapkan komposisi AJP PPK mestilah terdiri daripada tujuh ahli yang dalam mesyuarat agung tahunan dan lima ahli lagi dilantik oleh menteri, seorang daripadanya hendaklah merupakan Peladang Muda dan seorang lagi merupakan Peladang Nita.

Bagi AJP PPN pula, empat ahli dipilih melalui mesyuarat agung tahunan manaka lima lagi ahli dilantik oleh menteri dan pengerusi dinamakan oleh AJP dalam kalangan mereka yang diluluskan oleh menteri.

Lantikan AJP Nafas pula, lima ahli dipilih dalam mesyuarat agung tahunan dan enam ahli dilantik oleh menteri manakala pengerusi dinamakan oleh AJP dalam kalangan mereka yang diluluskan oleh menteri.

Warta yang dibuat pada 19 April 2019 oleh Pengerusi LPP, Datuk Mazlan Aliman dan diluluskan pada tarikh yang sama oleh Menteri Pertanian dan Indusrtri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub itu akan dikuatkuasakan pada 1 Mei 2019.