Aidilfitri bermakna, terima duit raya

BKKA bukti keprihatinan kerajaan, ringan beban pekebun kecil

A
A
A

Dari kiri: Md Bazin, Ali dan Mutaza gembira menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri.
Dari kiri: Md Bazin, Ali dan Mutaza gembira menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri.

SEREMBAN - Pekebun kecil getah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyifatkan sambutan Aidilfitri tahun ini amat bermakna buat mereka apabila kali pertama menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA).

Malah inisiatif tersebut dianggap sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mutaza Jalaluddin, 52, menyifatkan bantuan RM200 yang diterima sangat tepat pada waktunya ditambah pula dengan keadaan harga barang yang meningkat sekarang.

MUTAZA
MUTAZA

Baginya, ia jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Madani terhadap golongan pekebun kecil yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana beri duit raya awal buat kami. Walaupun jumlahnya tidak seberapa, tapi dapatlah bantu ringankan beban saya buat persiapan Aidilfitri.

"Bantuan sebegini sememangnya sangat diharap-harapkan oleh pekebun kecil seperti kami ditambah pula dengan harga getah yang tidak menentu sekarang," katanya.

Mutaza turut berharap inisiatif baik itu dapat diteruskan oleh kerajaan pada masa akan datang.

Ali Omar, 68, pula berkata, bantuan berkenaan akan digunakan sebagai persiapan Aidilfitri dan dijadikan duit raya buat 10 cucunya.

ALI
ALI

"Gembira sangat bila kerajaan umum pekebun kecil pun dapat bantuan hari raya. Selama ini kita dengar orang lain saja yang dapat.

"Tapi tahun ini Alhamdulillah kali pertama kami dapat. Ternyata kerajaan hari ini begitu prihatin," katanya.

Menurut Ali, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu selain harga baja yang meningkat sememangnya sangat memberi kesan kepada kebanyakan pekebun kecil.

Bagaimanapun katanya, bantuan RM200 diterima sedikit sebanyak dapat mengubat sedikit kesedihan di hati.

Selain itu Md Bazin Ahmad, 68, pula memberitahu inisiatif diterima sebagai cahaya buat mereka yang dapat membantu meringankan beban persiapan Aidilfitri.

MD BAZIN
MD BAZIN

"Saya bersyukur sangat terima bantuan khas ini. Ceria sikit rasa hati nak sambut Aidilfitri tahun ini.

"Harapnya inisiatif bantuan ini dapat diteruskan dan dinaikkan lagi pada tahun hadapan sesuai dengan kenaikan kos sara hidup rakyat," katanya.

Sebelum ini Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, seramai 318,642 pekebun getah di seluruh negara akan menerima BKKA berjumlah RM200.

Menurutnya, ia melibatkan peruntukan RM63.75 juta untuk mereka dari kalangan penerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) Tahun 2022.

BKKA yang disalurkan ini adalah inisiatif tambahan menerusi pembentangan Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri melibatkan seramai 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan.