Pemimpin harus jadi diri sendiri, tak perlu berlakon - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Pemimpin harus menjadi diri sendiri tanpa perlu 'berlakon' untuk meraih populariti.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana rakyat bijak menilai perlakuan pemimpin itu sama ada dibuat secara semulajadi atau lakonan.

Menurutnya, rakyat juga tidak sukakan kepada perwatakan yang dibina semata-mata untuk menampilkan imej baik pemimpin, selain tidak akan mengecam amalan baik pemimpin berkenaan.

“Jadi pemimpin atau ketua hendaklah asli dengan menjadi dirinya sendiri, tidak boleh berlakon,” katanya di sini pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan terdapat pihak yang tidak menyukai ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memerangi rasuah, selain tidak akan bertolak ansur dalam usaha membersihkan Malaysia daripada tindakan pemimpin yang merompak kekayaan negara.

Pada Isnin, Anwar juga tegaskan tidak gentar berdepan dengan mana-mana pihak yang mahu menentangnya atau menjatuhkan beliau dalam usaha memerangi penyelewengan dan rasuah.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, apa yang dilakukan Anwar dalam memerangi rasuah bukan tidak disukai rakyat, sebaliknya perwatakan beliau yang mengundang kecaman.

“Secara politiknya, beliau cuba menempatkan dirinya dalam situasi yang tidak disukai sebagai tokoh antirasuah, sebenarnya tidak.

“Saya baca komen di media sosial, akhbar mahupun netizen, bukan orang marah Perdana Menteri sebab beliau antirasuah tetapi sebab benda lain. Isu lain kecuali antirasuah. Semua benda selain antirasuah, semua orang marah,” katanya.

Jelasnya, rakyat akan melihat semua pelakuan pemimpin dan berharap Perdana Menteri turut mengawasi pemimpin bawahannya bagi mengelak perkara yang boleh menimbulkan kecaman mana-mana pihak.

“Bila jadi pemimpin, berlari pun orang ambil kira, bercakap atau menyanyi melalak pun orang ambil kira. Orang akan ulang benda itu dan kecam, akhirnya troll.

"Orang tak marah kalau nekad perangi rasuah, yang orang tak suka bila perbuatan lain nampak seolah lakonan,” katanya.