Bacaan ketua polis 'pukau' peserta World #QuranHour

Sebahagian peserta program World #QuranHour di Masjid Negeri Perak pada Khamis.
Sebahagian peserta program World #QuranHour di Masjid Negeri Perak pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Bacaan merdu Ketua Polis Balai Sentral Ipoh, Asisten Superintendan Mohamad Sahran Termizi memukau peserta World #QuranHour di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini pada Khamis.

Naib Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Perak Tahun 2023 itu merupakan salah seorang daripada enam pembaca ayat-ayat dari surah Al-Insan yang menjadi tema program World #QuranHour.

Mohamad Sahran berkata, penyertaannya di dalam World #QuranHour itu bukanlah pertama kali disertainya tetapi pada tahun lalu turut menjadi pembaca al-Quran.

Mohamad Sahran
Mohamad Sahran

"Penganjuran World #QuranHour ini amat baik dalam usaha menyemai semangat cintakan al-Quran dalam kalangan masyarakat. Jadi kalau ada jemputan lagi saya cuba lapangkan masa untuk turut serta.

"Cuma saya harap pada akan datang di lokasi utama ini dilibatkan pelbagai kumpulan seperti pasukan beruniform, penjawat awam dan orang ramai bagi memeriahkan lagi penganjuran program ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program World #QuranHour di Masjid Negeri Perak di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abd Halim; Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abd Farid Salleh; Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim dan Pengerusi Rumah Ngaji Perak Noor Mazlina Noor Shah.

Dalam pada itu, seramai lebih 500 orang peserta menyertai World #QuranHour di masjid berkenaan bermula jam 11.30 pagi hingga 1 petang.

Selain di Masjid Negeri Perak, turut menjadi lokasi utama bagi program berkenaan di Perak adalah di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan dan Perbadanan Perpustakaan Negeri Perak.

Program berkenaan juga turut diadakan di lebih 100 Rumah Ngaji di seluruh daerah di negeri ini.