Ibu dalam pantang ditemui maut dengan kesan tikaman di leher

No Image Caption
A
A
A

BACHOK - Seorang ibu dalam pantang ditemui maut dengan kesan tikaman pada bahagian leher dalam kejadian di Kampung Beris Panchor, Tawang, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa yang berusia 35 tahun dipercayai baharu 36 hari melahirkan anak keempatnya.

Ibu mangsa, Zuraizah Mat, 58, memberitahu, anak perempuannya yang sebelum ini menetap di Kedah itu ditemui di bilik tidur dalam keadaan berlumuran darah.

"Kami turut menemui sebilah pisau pemotong sayur berada di bahagian tengah leher mangsa," katanya kepada pemberita.

Menurut dia, sebelum kejadian, anak perempuannya berada di ruang tamu sebelum menyerahkan bayinya untuk bercakap di telefon dengan suami yang berada di Kedah.

Ujarnya, mangsa kemudian masuk ke dalam bilik dan sempat berpesan supaya menjaga bayinya

Zuraizah berkata, dia kemudian meminta anak bongsu mengintai mangsa yang berada di dalam bilik tersebut menggunakan tangga kerana bimbangkan keselamatannya.

"Kami juga cuba pecahkan pintu bilik beberapa kali.

"Apabila berjaya masuk, kami terkejut mendapati dia terbaring berlumuran darah dengan pisau tertusuk pada lehernya," ujarnya.

Katanya, pada ketika itu anaknya masih bernyawa dan telah meminta ahli keluarga membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Beris Panchor.

Tambahnya, sebelum kejadian mangsa sering mengadu sakit di bahagian perut.

Zuraizah memberitahu, pada pagi Rabu mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Sejak pulang dari sana dia kelihatan seperti tertekan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian tersebut.

Beliau memberitahu, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk tindakan lanjut.

"Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

"Orang awam yang mempunyai ahli keluarga mengalami tekanan perasaan dinasihatkan untuk mendapatkan pihak bertanggungjawab bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya.