Urusan jual beli kelab harus ikut kriteria MFL

Stuart
Stuart
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) akan terlibat secara langsung sekiranya pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berhasrat menjual kelab tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, sebarang urusan jual beli mempunyai kriteria yang perlu dipatuhi seperti mana yang ditetapkan oleh pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu.

Menurutnya, kegagalan mematuhi kriteria tersebut akan menyebabkan lesen tidak akan diberikan sekali gus memberi implikasi pasukan dilarang beraksi dalam saingan Liga Super.

"Sudah pasti, tahun lalu dua pengambilalihan pasukan kita tidak luluskan selepas penilaian wajar dibuat. Sekarang MFL akan membabitkan diri dalam proses pengambilalihan pasukan supaya ia lebih sistematik, bukan pemilik boleh jual tanpa pembabitan MFL.

"Ia kerana MFL memerlukan penilaian wajar ke atas pembeli sebelum apa-apa pembelian atau penjualan boleh berlaku.

"Saya bagi contoh lesen diberi kepada pasukan A, kalau individu membeli lesen dan mahu mengubah semua memang tidak boleh kerana ini bukan liga jual lesen," katanya ketika Majlis Berbuka Puasa MFL bersama media di Petaling Jaya pada Selasa.

Sebelum ini, Norizam atau dikenali sebagai Zamsaham dalam satu hantaran di laman Facebooknya memberikan bayangan mahu melepaskan kelab itu kepada mana-mana individu yang mampu.

Ia selepas Zamsaham 'diserang' oleh penyokong pasukan itu sendiri susulan prestasi kurang memuaskan Kelantan dalam kancah saingan Liga Super.

Dalam pada itu, MFL akan menilai secara proaktif kes yang sedang berlaku kepada Kelantan FC menerusi satu perjumpaan dengan pemilik Kelantan FC itu.

"Pada masa ini tiada maklumat mengenai hasrat beliau, saya tidak boleh membuat komen yang tiada fakta. Tapi selepas saya berbincang dengan beliau, saya akan tahu perancangan beliau.

"Saya akan berjumpa dengan beliau tapi perbincangan bukan sekadar penjualan pasukan kerana ia adalah isu baru tapi lebih kepada apa yang terjadi beberapa minggu ini dengan tersebarnya isu dalaman pasukan," katanya.