[VIDEO] Tahanan lolos ditemui dalam keadaan cedera ringan, pakai t-shirt

Beng Yeow ( kanan) menunjukkan wajah dua tahanan lolos yang berjaya diberkas semula di Kulai.
Beng Yeow ( kanan) menunjukkan wajah dua tahanan lolos yang berjaya diberkas semula di Kulai.
A
A
A

KULAI - Dua tahanan warga Indonesia yang diberkas semula pada Selasa dan Rabu selepas meloloskan diri ketika dalam perjalanan ke Penjara Ledang ditemui dalam keadaan lemah dan mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, Haji Samirudin, 36, dan Riki Rinaldi, 40, ditahan polis di dua lokasi berasingan di daerah ini dalam tempoh kurang 24 jam.

Menurutnya, kedua-dua suspek itu telah menukar baju lokap yang dipakai dengan pakaian lain iaitu t-shirt dan seluar jeans yang dipercayai dicuri.

"Kedua-dua mereka turut mengalami cedera ringan selepas bertindak terjun daripada van untuk meloloskan diri.

"Riki Ranaldi telah ditahan di kebun sayur Sengkang, Jalan Felda Inas pada jam 10.35 malam, Selasa, hasil maklumat orang awam.

" Haji Samirudin pula ditahan di ladang kelapa sawit, Taman Saga pada jam 10.30 pagi. Jarak antara kedua-dua lokasi ditemui tidak jauh iaitu dalam anggaran 1.5 kilometer (km)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada Rabu.

Beng Yeow pada sidang akhbar di IPD Kulai pada Rabu.
Beng Yeow pada sidang akhbar di IPD Kulai pada Rabu.

Beng Yeow berkata, Mahkamah Majistret Kulai telah membenarkan reman selama empat hari bermula Rabu terhadap Riki Rinaldi manakala reman bagi Haji Samirudin akan dipohon pada Khamis.

Dalam kejadian pada jam 11.20 pagi Selasa seramai tiga anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ditugaskan membawa empat tahanan warga Indonesia dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang setelah selesai pertuduhan.

Kedua-dua tahanan berkenaan bersama dua lagi tahanan wargan Indonesia itu sepatutnya menjalani hukuman penjara enam bulan di Penjara Ledang setelah didakwa di Mahkamah Kota Tinggi jam 8 pagi Selasa bagi pertuduhan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

Bagaimanapun, semasa dalam perjalanan dua tahanan telah berjaya membuka gari berantai dan membuka pintu belakang van sebelum bertindak melarikan diri ke dalam kebun kelapa sawit terbiar berhampiran Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang, Kulai.

Susulan itu polis telah menjalankan Op Tutup di sekitar lokasi kejadian bagi mengesan kedua-dua suspek.