Hamidin janji kerja sepenuh hati demi emas pertama di Paris

Hamidin - Foto Bernama
Hamidin - Foto Bernama
A
A
A

KETUA Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin optimis dan sedia bekerja dengan sepenuh hati untuk menamatkan penantian pingat emas pertama negara pada temasya sukan terunggul dunia itu.

Hamidin yang merupakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), berjanji untuk bekerja keras sehingga kemuncak temasya berkenaan pada 26 Julai hingga 11 Ogos tahun depan bagi memastikan lagu Negaraku berkumandang di Paris nanti.

Beliau turut berhasrat untuk meningkatkan pencapaian pingat perak dan gangsa pada temasya itu.

"Bila jawatan diberi kepada, saya bukan setengah hati, saya seorang yang sangat komited dan bekerja dengan sepenuh hati. Insya-Allah dengan rezeki Allah SWT, kita dapat capai (emas), tak mustahil.

"Kita pun ada peluang pada Rio 2016, belum ada rezeki. Saya ingin bekerja ke arah itu sehingga hari kemuncak,” katanya selepas mengadakan lawatan bersama Timbalan CDM Datuk Nicol David ke sesi latihan skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada Rabu.

Malaysia yang menyertai Olimpik musim panas sejak edisi 1956 Melbourne, masih kempunan emas pertama, dengan pencapaian terbaik adalah empat perak dan satu gangsa di edisi Rio 2016.

Sementara itu, Hamidin berkata, lawatan pertamanya sebagai CDM telah dibuat ke ABM kerana kesemua pemain yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan profesional menjalani latihan pada hari ini, kecuali Lee Zii Jia yang berada di Hong Kong.

Hamidin berkata beliau seterusnya akan melawat persiapan sukan-sukan lain untuk berjumpa atlet dan mendapatkan perkembangan semasa.

"Saya akan berjumpa dengan semua persatuan dan atlet yang berpotensi untuk layak seperti terjun, berbasikal, pelayaran, menembak dan break dance. Kita akan pantau semua yang berpotensi layak,” katanya. - Bernama