Siasat motif tikam imam sedang solat

Zorba (gambar kecil) menikam mangsa ketika sedang mengimamkan solat Subuh pada akhir minggu lalu. - Foto: Agensi
Zorba (gambar kecil) menikam mangsa ketika sedang mengimamkan solat Subuh pada akhir minggu lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

TRENTON - Komuniti Muslim seluruh dunia digemparkan dengan insiden seorang imam di Amerika Syarikat (AS) ditikam ketika solat Subuh pada akhir minggu lalu.

Siasatan awal mendapati suspek dikenali sebagai Serif Zorba, 32, turut terlibat serangan sama di Masjid Mevlana Cami di Sussex Street, beberapa minggu lalu.

"Dia menggunakan taktik sama iaitu menyasarkan imam. Ketika itu, aduan tidak dibuat kerana situasi tersebut berjaya ditangani para jemaah.

"Beberapa agensi penguatkuasaan undang-undang yang lain dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) telah melancarkan siasatan ke atas kedua-dua insiden tersebut," lapor News 12.

Zorba yang berdepan tiga pertuduhan termasuk cubaan membunuh didakwa menikam bahagian belakang Imam Sayed Elnakib, 65, sebanyak dua kali.

Rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kejadian itu berlaku ketika para jemaah sedang sujud di Masjid Omar di Paterson, New Jersey apabila suspek meluru ke arah Elnakib secara tiba-tiba.

Sejurus menyedari insiden itu, beberapa jemaah bertindak pantas menangkap suspek manakala beberapa yang lain mengerumuni mangsa untuk memberikan bantuan segera.

Difahamkan, Elnakib yang dirawat di hospital kini berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, peguam mewakili Masjid Omar, Abdul Hamdan memaklumkan suspek tidak dikenali secara rapat dalam kalangan jemaah.

Dalam insiden berasingan di Los Angeles, pihak berkuasa kini memburu seorang suspek yang menggunakan pen berdakwat kekal untuk melakukan vandalisme dan menconteng tulisan anti-Muslim di sebuah pusat kebudayaan Islam di tengah-tengah Islamofobia yang semakin meningkat. - Agensi