Seorang lagi anggota polis didakwa bunuh pemandu e-hailing

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TAWAU - Seorang anggota polis yang sebelum ini menjadi saksi kes berhubung pembunuhan pemandu e-hailing di Tawau pada Januari lalu, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa atas tuduhan membunuh bagi kes sama.

Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, John Kennedy Sanggah, 44, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Mohd Yunus.

Berdasarkan pertuduhan, John Kennedy bersama enam individu yang telah dituduh, didakwa mencapai niat bersama membunuh Nurman Bakaratu, 61, antara 7.30 malam hingga 11.30 malam di ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, Tawau pada 13 Januari lalu.

Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Muhamad Iskandar Ahmad, Muhammad Ilmami Ahmad, Low Win Hui dan Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim.

Tertuduh, John Kennedy diwakili barisan peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 7 Julai ini.

Pada 8 Februari lalu, John Kennedy bersama anggota polis Usman Lanaga serta seorang awam, Shim Vui Nyen diberikan bon jaminan sebagai saksi pendakwaan, manakala lima anggota polis iaitu Rosdi Rastam, 44, Dennis Enit, 44, Fabian Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, dan orang awam, Vivien Fabian, 34, dituduh di Mahkamah Majistret Tawau dengan niat bersama membunuh Nurman.

Pada hari sama, seorang pegawai kanan polis iaitu Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, turut didakwa bersubahat dengan enam individu berkenaan untuk membunuh lelaki tersebut.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret sama pada Selasa, Dzul Elmy turut menetapkan 7 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes ke atas Mat Zaki bagi pertuduhan bersubahat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang di baca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Di Mahkamah Majistret berasingan, pada Selasa, Majistret Leona Dominic Mojiliu juga menetapkan 7 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes ke atas Rosdi, Dennis, Fabian, Khairul Azman, Mohd Azlan dan Vivien bagi pertuduhan membunuh mangsa yang sama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. - Bernama