Rasmi mesin ATM: Besut sama seperti Bachok - Mohd Syahir

Che Mohamad Zulkifly sewaktu melancarkan mesin ATM di sebuah stesen minyak. - Foto daripada Pas Terengganu.
Che Mohamad Zulkifly sewaktu melancarkan mesin ATM di sebuah stesen minyak. - Foto daripada Pas Terengganu.
A
A
A

SHAH ALAM - Perasmian mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di daerah Besut Terengganu dipersendakan oleh netizen kerana dianggap perkara kecil itu tidak perlu disediakan.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, bagi mereka yang tinggal di bandar akses tersebut lebih mudah dan berdekatan.

“Namun bagi penduduk daerah terceruk perkara ini adalah sebaliknya.

“Daerah Besut sama seperti daerah Bachok yang merupakan kawasan luar bandar majoriti penduduknya adalah petani, nelayan, warga emas dan golongan miskin,” ujarnya melalui satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Tambahnya, sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, antara perkara yang diminta oleh pengundi muda adalah mewujudkan cawangan bank dan perbanyakkan mesin ATM.

Menurut beliau, dengan memahami kehendak dan keperluan mereka ia juga penting bagi merancakkan aktiviti perniagaan dan pelancongan di kawasan berkenaan.

“Bachok semakin rancak di samping menampung pertambahan penduduk dan pelajar setelah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) serta Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) dibuka di sini,” jelasnya.

Ujar beliau, pilihan yang terdapat bagi 160,500 penduduk Bachok hanya beberapa cawangan institusi kewangan antaranya Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat, AgroBank dan Tabung Haji serta sembilan mesin ATM.

Justeru, jika perlu berurusan dengan cawangan bank seperti Maybank, CIMB dan Bank Islam, penduduk perlu ke Kota Bharu atau Kubang Kerian dengan jarak perjalanan sekitar 45 minit sehingga satu jam.

“Penduduk kampung termasuk pemilik stesen minyak dan pegawai bank yang terlibat dalam menyediakan sebuah mesin ATM adalah bagi memudahkan urusan mereka. “katanya.

Pada 10 April, Ahli Parlimen Besut Che Mohamad Zulkifly Jusoh telah melancarkan sebuah mesin pengeluaran wang ATM di kawasan Parlimen itu.

Namun, acara itu menjadi perbincangan dan gelak ketawa sebahagian pengguna maya yang pelik dengan keadaan yang jarang berlaku.

Mesin tersebut diletakkan di sebuah stesen minyak di kawasan Parlimen berkenaan bagi memudahkan penduduk setempat.