Jamal nafi dakwaan sogok perwakilan

Jamal Md Yunus
Jamal Md Yunus
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunus menafikan dakwaan bahawa beliau menyogok 12 perwakilan untuk mengundi dirinya pada pemilihan parti pada 18 Mac lalu.

Beliau tidak menolak kemungkinan Lembaga Disiplin UMNO menerima aduan palsu daripada individu tertentu yang sengaja memfitnah beliau selepas berjaya mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar.

“Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut sehingga dipanggil pada 12 tengah hari Rabu ini (12 April 2023) oleh Lembaga Disiplin UMNO," katanya seperti dilaporkan sebuah portal.

Beliau memberitahu akan membuat kenyataan media selepas menghadiri pendengaran itu.

Terdahulu, Lembaga Disiplin UMNO dikatakan memanggil Ketua Bahagian Sungai Besar itu berhubung dakwaan sogokan kepada perwakilan pada pemilihan parti itu pada 18 Mac lalu.

Surat pemakluman untuk memanggil Jamal hadir itu ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun bertarikh 7 April lalu.

Dalam surat itu menyatakan Jamal dipanggil kerana didakwa melanggar peruntukan Perlembagaan UMNO dan Tataetika Ahli UMNO yang boleh dihukum di bawah Fasal 20.9.

"Bahawa Datuk Seri pada 17 Mac 2023, jam lebih kurang 6.15 petang sudah melakukan perbuatan rasuah dan sogokan politik dengan memberikan wang sebanyak RM1,000 kepada penama (12 perwakilan) dari Cawangan UMNO Parit Sungai Haji Dorani, Parit 3 Jalan Lama, Sungai Limau, Simpang Tiga Loji dan Pekan Pasir Panjang.

"Yang menjadi perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar melalui ejen Datuk Seri untuk memilih Datuk Seri sebagai ketua bahagian Sungai Besar pada pemilihan parti bagi sesi 2023-2026," menurut kandungan surat berkenaan seperti dilaporkan media dan tular di media sosial.