Mana semangat Malaysia?

1Malaysia ialah roh yang menyuntik semangat dalam setiap kaum.
A
A

HAI pembaca bernama Mohamad, bila kali terakhir awak minum teh tarik bersama Linesh dan Kalai? Hai Edmond, bila kali terakhir awak bermain badminton bersama abang? Hai Yoferonica, bila kali terakhir awak bertanya khabar mengenai Hui Yin?

Mesti dah agak lama bukan? Dalam dua atau tiga minggu? Atau mungkin dah hampir setahun? Awak semua dah tak berkawan lagi ke? Kenapa jadi begini? Bukankah kita telah berjanji untuk hidup sejahtera di bumi majmuk bernama Malaysia ini?

Semestinya ramai lagi yang berasa sebegini. Kita kini dalam fasa polarisasi kaum yang kian meruncing. Kita semakin sukar untuk bertegur sapa, tambahan lagi yang melibatkan kaum-kaum lain. Adakah faktor masa semata-mata? Atau sebenarnya telah mula wujud bibit sengketa sesama kita?

Pada 9 Mei 2018 yang lalu, pada mulanya ada perasaan bangga apabila melihat kita semua dikatakan bersatu atas semangat demokrasi dalam pemilihan siapa yang kita mahu dalam mengemudi negara yang kita cintai.

Tetapi lama-kelamaan, bersatu itu semakin pudar mengikut waktu. Sepanjang waktu itu, seolah-olah taufan dan badai telah menghempas perasaan tenang dan damai dalam keharmonian kita. Banyak perkara yang melibatkan kaum telah cuba merampas semangat 1Malaysia kita. Beberapa perkara mungkin menjadi asas permasalahan ini berpunca daripada ketebalan politik perkauman dan dendam dalam diri segelintir masyarakat kita.

Sejak bermula pemerintahan yang mereka gelar Malaysia Baharu, sejak itulah satu persatu masalah perpaduan mula berlaku. Bermula dengan pemadaman legasi 1Malaysia yang dibangunkan oleh bekas perdana menteri, ini merupakan bibit pertama yang membuka jurang dalam rakyat Malaysia.

Secara logiknya, satu ideologi yang membawa maslahat kepada masyarakat tidak perlulah dipadam hanya kerana tidak berkenannya kita kepada seseorang yang reputasinya terpalit rasuah dan salah laku sumbang.

1Malaysia ialah roh yang menyuntik semangat dalam setiap kaum yang merasakan bahawa kita ada satu pegangan yang boleh diguna pakai untuk berpaut sebagai tali yang menyatupadukan masyarakat. Tetapi kerana politik, sebahagian daripada Klinik 1Malaysia ditutup, beberapa NGO yang menggunakan nama 1Malaysia bertukar nama, Asrama 1Malaysia turut terkena tempias dan beberapa lagi kes lain.

Kini kita tiada ideologi semasa yang digubal untuk semarakkan perpaduan marcapada. Belum sempat pun ideologi baharu tercipta, kita diserabutkan pula dengan kes ICERD yang semakin mencetuskan segregasi dan ketegangan antara kaum, khasnya Melayu dan bukan Melayu.

Parti politik pula dilihat menggunakan kesempatan ini untuk mendapatkan sokongan melalui kaum. Ini mengeruhkan lagi keadaan.

Walaupun kerajaan melalui Perdana Menteri telah meredakan isu ICERD dengan tidak meratifikasikan ICERD, tetapi parti politik masih terus-menerus menyimbah minyak ke api dengan membuat satu himpunan yang sekadar untuk membangkitkan rasa ketidakselesaan antara orang Melayu dan bukan Melayu di Malaysia.

Kemudiannya timbul pula isu kuil yang melibatkan antara penganut agama Hindu dan anggota bomba yang rata-ratanya Melayu. Kes itu, walau kita klasifikasi sebagai kemalangan, tetapi ramai pihak yang menangguk di air keruh, memburukkan lagi suasana harmoni di Malaysia.

Rusuhan yang menyebabkan seorang hero rakyat meninggal dunia itu dijadikan isu untuk memecahbelahkan dua kaum yang sudah tinggal bersama lebih dari separuh abad. Sehingga ke Cameron Highlands, kes ini dijadikan isu dalam memecahbelahkan masyarakat hanya kerana kepentingan undi dan tujuan politik.

Banyak lagi isu perkauman yang dimainkan demi kelangsungan politik parti masing-masing. Isu Muslim dan bukan Muslim di mana terdapat gerakan memboikot produk bukan Muslim.

Ini satu keadaan yang sakit dalam masyarakat kita. Malahan sehingga ke hari ini, di Parlimen yang sedang bersidang dan pilihan raya kecil yang baru tamat di Rantau, masih lagi terdapat pemimpin politik yang cuba melagakan kita dengan isu agama dan bangsa yang sangat menyakitkan mata dan memedihkan telinga.

Sampai bila kita ingin hidup begini? Lupakah kita telah merangka satu pelan yang disebut Rukun Negara apabila kita bertelagah dalam peristiwa berdarah 13 Mei 1969 dahulu?

Sudah tiba masanya, kerajaan hari ini merancakkan semula agenda perpaduan. Jika tidak mahu teruskan dengan ideologi baharu, kita kekalkan semangat persaudaraan dengan falsafah kebangsaan yang kita miliki.

*Ishak Sairozi ialah Eksekutif Yayasan Perpaduan Malaysia


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.