Kosma umum agihan dividen 55 peratus

Wan Rosdy (empat dari kanan) mengumumkan kadar dividen Kosma 55 peratus kepada ahli yang layak di Wisma Sri Pahang pada Isnin. - Foto FB Wan Rosdy Wan Ismail.
Wan Rosdy (empat dari kanan) mengumumkan kadar dividen Kosma 55 peratus kepada ahli yang layak di Wisma Sri Pahang pada Isnin. - Foto FB Wan Rosdy Wan Ismail.
A
A
A

KUANTAN - Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) mengumumkan agihan bayaran dividen bagi tahun 2022 kepada semua anggota yang layak.

Jumlah agihan itu diumumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang, di sini pada Isnin.

Wan Rosdy berkata, jumlah agihan dividen yang akan dibayar koperasi itu sebanyak RM30.4 juta dan RM30.2 juta pembahagian keuntungan unit ladang.

Menurutnya, berdasarkan perolehan hasil sektor perladangan tahun 2022, Kosma mencapai hasil RM237 juta berbanding RM222 juta pada tahun 2021.

"Keuntungan bersih Kosma pada tahun lalu RM84 juta berbanding RM74 juta ringgit pada tahun 2021.

"Keuntungan ini akan memberi manfaat kepada 1,430 anggota koperasi ini," katanya dalam kenyataan yang dikongsi melalui Facebook.

Wan Rosdy berkata, berdasarkan keuntungan itu, dicadangkan bayaran dividen sebanyak 55 peratus akan dibayar kepada semua anggota yang layak pada tahun 2022.

"Bayaran ini melibatkan bayaran pendahuluan 10 peratus yang akan dibayar secara berperingkat bermula 13 April ini.

"Keuntungan unit ladang RM6,500 seunit akan dibayar penuh mengikut unit yang dimiliki ahli," jelasnya.

Sementara itu, Wan Rosdy turut menyerahkan van jenazah sumbangan Kosma kepada tiga masjid serta van serbaguna kepada masjid dan sebuah sekolah menengah.