Kastam ketat kawalan sempadan elak penyeludupan mercun

Wan Jamal Abdul Salam (kiri) menunjukkan peta lokasi pangkalan haram yang aktif di Tumpat.
Wan Jamal Abdul Salam (kiri) menunjukkan peta lokasi pangkalan haram yang aktif di Tumpat.
A
A
A

TUMPAT - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mengetatkan kawalan di sempadan negara bagi mengelakkan pembolosan penyeludupan termasuk mercun dan bunga api menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, kawalan dilakukan melalui Op Sempadan dan Op Makmur bermula 23 Mac lalu.

“Operasi melibatkan tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan kekuatan anggota seramai 100 orang.

“Operasi dan penguatkuasaan berterusan bertujuan mengekang penyeludupan seperti mercun dan bunga api sepanjang tempoh sehingga 16 April ini,” katanya pada sidang akhbar di di Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor, di sini pada Isnin.

Menurut beliau, terdapat lebih 100 pangkalan haram di Kelantan dan 40 daripada yang dipercayai aktif ialah di daerah di Tumpat.

“Sehubungan itu, pemantauan ketat dilakukan dan memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat penyeludupan kepada pihak kami bagi membanteras kegiatan itu.

“Aduan boleh disalurkan di talian bebas tol 1-800-8855 atau pejabat kastam yang terdekat. JKDM juga memberi jaminan identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” ujarnya.