Ahmad Zahid hantar representasi gugur pertuduhan

Ahmad Zahid ketika menghadiri sebutan perbicaraan membela dirinya di Mahkamah Tinggi pada Isnin. - Foto Bernama
Ahmad Zahid ketika menghadiri sebutan perbicaraan membela dirinya di Mahkamah Tinggi pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, bahawa representasi bagi menggugurkan tuduhan kes rasuah dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya telah dihantar kepada Peguam Negara (AG), Tan Sri Idrus Harun, pada Januari dan Februari lalu.

Peguam, Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian ketika sebutan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan (yang bertindak sebagai hakim Mahkamah Tinggi) Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Menurutnya, representasi setebal 200 muka surat telah dialamatkan kepada Idrus dan ia perlu diteliti oleh pihak pendakwaan.

Katanya, dokumen itu turut menyertakan fakta dan bukti baharu bagi menggugurkan tuduhan tersebut.

“Justeru, kami memohon perbicaraan ditangguhkan sementara representasi itu diputuskan oleh pihak AG,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob mengesahkan telah menerima surat representasi yang mengandungi isu kompleks.

Menurutnya, mereka diarahkan untuk tidak membantah permohonan untuk menangguhkan perbicaraan tersebut.

“Terdapat dua representasi telah dihantar iaitu pada Januari dan 14 Februari lalu, yang mana ia mengandungi isu kompleks yang dibangkitkan.

“Selepas berunding dengan pihak atasan iaitu Pendakwa Raya, kami diarahkan tidak membantah permohonan ini kerana pendakwaan memerlukan masa yang munasabah untuk menimbangkannya,” kata Abdul Malik.

Sequerah: Berapa lama masa diperlukan untuk meneliti dan membuat keputusan presentasi itu?

Abdul Malik: Kami memerlukan masa kerana permohonan itu turut dilampirkan bersama surat daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) Tan Sri Azam Baki bertarikh 20 Februari lalu yang menyatakan agensi itu menjalankan siasatan lanjut berhubung bukti baharu berkenaan.

Sequerah kemudiannya membenarkan perbicaraan kes itu ditangguhkan manakala perbicaraan yang ditetapkan sepanjang bulan ini hingga Julai depan, dilapangkan.

Mahkamah menetapkan 1 Ogos depan untuk perbicaraan seterusnya atau memaklumkan perkembangan lanjut berhubung representasi itu.

Ahmad Zahid, 70, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.