Pecah rumah bekas isteri guna cangkul, lelaki didenda RM3,000

Jurukimpal didenda RM3,000 di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin kerana melakukan perbuatan khianat di kediaman bekas isteri, minggu lalu.
Jurukimpal didenda RM3,000 di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin kerana melakukan perbuatan khianat di kediaman bekas isteri, minggu lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang jurukimpal didenda RM3,000 di Mahkamah Majistert Ipoh pada Isnin kerana melakukan perbuatan khianat di kediaman bekas isteri, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Shariman Zul Kapri, 46, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Bapa kepada seorang anak itu turut diperintahkan menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh memecahkan cermin pintu depan rumah sehingga pecah dengan menggunakan sebatang cangkul hingga menyebabkan Salina Sidit, 45, mengalami kerugian melebihi RM25.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Pinji Indah, Ipoh sekitar jam 9 pagi pada 4 April 2023.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), G Harbhajan Singh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah agar tidak mengenakan hukuman penjara memandangkan tertuduh menyesali serta berjanji tidak mengulangi perbuatannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal agar dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Dalam prosiding berasingan, Mohd Shariman didakwa memasukkan dadah jenis methaphetamine ke dalam badan yang merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sekitar jam 6.15 petang pada 5 April 2023.

Tertuduh hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM2,000 dan menetapkan 19 Jun depan bagi sebutan semula kes dan serahan laporan patologi.

Tertuduh telah ditahan polis pada 5 April lepas selepas video perbuatannya memecahkan cermin tular di media sosial.

Ujian awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.