Kerajaan rangka strategi perkukuh keterjaminan makanan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada temu bual bersama para pengamal media selepas menghadiri Program Agihan Bubur Lambuk dan Sumbangsih Ramadan Media Sarawak dan Liansin 2023. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada temu bual bersama para pengamal media selepas menghadiri Program Agihan Bubur Lambuk dan Sumbangsih Ramadan Media Sarawak dan Liansin 2023. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kerajaan dalam usaha merangka beberapa strategi untuk memperkukuh keterjaminan makanan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pihaknya serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang diterajui Datuk Seri Mohamad Sabu, bertanggungjawab di peringkat teknikal bagi menilai serta memberi input berkaitan isu pertanian sebelum ia dibentang di peringkat kabinet.

"Kita akan melihat kepada keseluruhan rantai nilai... maknanya kita kena melihat kepada kualiti benih dan input pertanian, baja, baka, makanan haiwan dan sebagainya... dari situ juga, kita akan selaras dengan semua kementerian termasuk kementerian saya kerana ia juga melibatkan sektor perladangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bubur Lambuk dan Sumbangsih Ramadan Media Sarawak Liansin di sini pada Ahad.

Beliau berkata, strategi keterjaminan makanan secara keseluruhannya akan memberi penyelesaian kepada teknologi yang sesuai dalam memastikan Malaysia mempunyai bekalan mencukupi dan mampu dimiliki rakyat.

Terdahulu, Fadillah mengagihkan 2,000 pek bubur lambuk kepada orang ramai sempena program anjuran Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) dan Liansin Trading Sdn Bhd itu.

Mengulas pertemuannya baru-baru ini dengan Ketua Whip Pembangkang Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, beliau berkata, ia merupakan perjumpaan awal untuk memberi ruang kepada blok itu membuat tawaran bagi menjalin kerjasama dengan kerajaan.

"Mereka perlu buat tawaran kepada kita secara black and white dan dari situ nanti, apabila kita sudah terima tawaran itu, kerajaan akan tubuhkan pasukan untuk kita berunding dengan mereka.

"Kita akan lihat apa skop kerjasama yang boleh dilakukan antara kedua-dua pihak seperti yang berlaku dalam kerajaan terdahulu iaitu ada tandatangan MoU (Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan), jadi ada terma dan syaratnya,” katanya.

Fadillah berkata, tiada tarikh akhir ditetapkan untuk pihak pembangkang mengemukakan tawaran jalinan kerjasama itu dan kerajaan terbuka bagi sebarang rundingan sekiranya kedua-dua blok tidak mencapai kata sepakat.

Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat berkata Ahli Parlimen pembangkang perlu berbincang dengan Fadillah yang ditugaskan mengetuai pasukan untuk menguruskan isu peruntukan kepada mereka.- Bernama.