Mohon IC, sijil lahir dalam 30 minit

Antara perkhidmatan yang disediakan JPN.
Antara perkhidmatan yang disediakan JPN.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menyediakan Bas Mekar untuk perkhidmatan kurang daripada 30 minit bagi permohonan kad pengenalan termasuk sijil kelahiran dan kematian khas kepada pengunjung Town Hall Rakyat bersama Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Isnin ini.

Timbalan Setiausaha Bahagian Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Dalam Negeri, Za'aba Abu Bakar berkata, perkhidmatan bas bergerak itu akan bermula dari jam 2 petang hingga 8 malam di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini.

“Permohonan kad pengenalan ini terbuka kepada mana-mana individu untuk kali pertama, kanak-kanak 12 tahun, warga emas dan orang kurang upaya (OKU). Permohonan gantian kad pengenalan dan tukar alamat juga boleh dilakukan.

“Bagi sijil kelahiran dan kematian, urusan pendaftaran baharu dan cabutan daftar kedua-duanya turut dibuat,” katanya kepada Sinar Harian.

Bas Mekar
Bas Mekar

Tambah Za'aba, selain JPN, empat agensi dan satu bahagian penguatkuasaan dan kawalan (PK) akan turut serta dalam pameran khas yang diadakan pada hari sama.

Ujarnya, agensi tersebut adalah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang akan menyediakan khidmat nasihat pengurusan pertubuhan.

“Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempamerkan aset daripada Pasukan Simpanan Persekutuan termasuk berkaitan trafik manakala Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengadakan aktiviti seperti kuiz dan pendaftaran serta semakan keahlian.

“Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pula menyediakan bas pameran bergerak untuk khidmat nasihat, advokasi dan aduan berhubung permasalahan dadah dan substan termasuk permainan interaktif.

“Bahagian PK juga akan mengadakan pameran dan khidmat nasihat berkaitan akta penapisan filem, akta agensi keselamatan (pengawal keselamatan), akta mesin cetak dan penerbitan dan akta penulisan teks Quran,” katanya.