[VIDEO] Pakaian lusuh, bawa anak taktik pengemis raih simpati

Warga Thailand yang ditahan akan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Warga Thailand yang ditahan akan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut.
A
A
A

KOTA BHARU - Berpakaian lusuh dan membawa kanak-kanak antara modus operandi pengemis untuk menarik simpati orang ramai di bandar ini.

Tindakan itu dilakukan oleh pengemis warga asing dan tempatan bagi mengaut keuntungan dengan cara mudah tanpa melakukan kerja.

Ketua Operasi Bahagian Penguatkuasaan dan Perundangan JKM Negeri Kelantan, Mohamad Md Nor berkata, ada pengemis yang sanggup tidur dalam beca usang dan tidak mahu ditukar ganti semata-mata untuk mendapatkan wang daripada penderma.

"Warga Thailand yang ditahan pula memberi alasan Ramadan merupakan masa untuk mengambil kesempatan mendapatkan zakat dan derma masyarakat di sini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu Peminta Sedekah di sekitar Kubang Kerian dan Kota Bharu pada Sabtu.

Menurutnya, mereka sanggup memasuki Kelantan dan menyewa beramai-ramai dipercayai di belakang sebuah masjid di bandar ini untuk meminta sedekah.

Mohamad berkata, ada pengemis yang ditahan mendakwa memerlukan wang tambahan untuk kos perubatan dan belanja keluarga.

"Ada pengemis yang ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Orang-Orang Papa 1977 didapati berulang dan mereka tidak serik untuk kembali mengemis," katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai berhati-hati bagi mengelakkan tertipu dengan golongan berkenaan yang 'berlakon' untuk meraih simpati.

Tambah beliau, pemberian itu turut menggalakkan peminta sedekah melakukan perkara sama sekali gus menjadi kacau ganggu di tempat awam.

"Setakat ini, pengemis yang ditahan hampir 80 peratus merupakan penerima bantuan JKM.

"Tempat tumpuan mereka sudah pasti di masjid, bank dan pasar di sekitar bandar ini," katanya.

Mohamad berkata, pihaknya sudah memberi amaran kepada pengemis supaya tidak mengulangi perkara sama bagi mengelakkan ditahan.

"Ada pengemis yang perlu mengisi Borang Akur Janji sebagai ikrar mereka untuk tidak kembali mengemis, manakala dua individu dihantar ke Rumah Seri Kenangan, Pengkalan Chepa kerana kes berulang," katanya.

Sementara itu katanya, kesemua warga Thailand dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

Melalui operasi pada Sabtu, seramai 15 pengemis ditahan termasuk tujuh warga Thailand dan tiga kanak-kanak.

Kesemua mereka berusia di antara dua tahun hingga 70-an.

Operasi bersepadu JKM dilaksanakan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Imigresen di sekitar Kota Bharu dan Kubang Kerian.