Laung azan Maghrib dua minit awal, pengurusan masjid mohon maaf

Masjid Jame’ Badlishah di Pekan Yan, Kedah. Gambar kecil: Kenyataan pengurusan Masjid Jame’ Badlishah Pekan Yan pada 1 April lalu.
Masjid Jame’ Badlishah di Pekan Yan, Kedah. Gambar kecil: Kenyataan pengurusan Masjid Jame’ Badlishah Pekan Yan pada 1 April lalu.
A
A
A

YAN - Pengurusan Masjid Jame’ Badlishah Pekan Yan dekat sini memohon maaf kepada jemaah kerana melaungkan azan Maghrib iaitu dua minit lebih awal sebelum masuk waktu sebenar pada 30 Mac lalu.

Timbalan Pengerusi masjid itu, Ahmad Nasir berkata, puasa jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan Maghrib dari masjid tersebut untuk berbuka telah terbatal dan perlu diganti atau diqada.

Menurutnya, kesilapan tersebut adalah disebabkan oleh masalah teknikal paparan digital waktu azan di masjid berkenaan.

"Saya mewakili seluruh pentadbir Masjid Jame' Badlishah Pekan Yan memohon maaf atas kesilapan melaungkan azan Maghrib dua minit sebelum masuk waktu sebenar pada Khamis, 8 Ramadan 1444 Hijrah bersamaan 30 Mac 2023," katanya melalui satu kenyataan bertarikh 1 April lalu.

Ahmad berkata, perkara tersebut berdasarkan pandangan Jumhur Ulama' dari kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama' Hanbali menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diqada.

"Para jemaah boleh ikuti syarah hukum melalui siri Bayan Linnas Siri Ke-97 Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertarikh 18 Jun 2017 yang disertakan bersama lampiran ini," katanya.