Isu penderaan: Pengusaha tidak patuh Akta Taska

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang tular didakwa berlaku kes penderaan kanak-kanak didapati tidak patuh kepada Akta Taska 1984.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia berikutan hasil pemeriksaan oleh JKM pada 29 Mac lepas.

"Dengan itu, pengusaha telah diberi notis peringatan untuk membuat penambahbaikan dengan kadar segera dan dalam proses penutupan sementara bagi tujuan menyediakan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak dan meningkatkan kualiti pengasuhan di TASKA tersebut," menurut kenyataan KPWKM.

KPWKM yang memandang serius isu itu menyatakan pengurusan Taska adalah di bawah bidang kuasa JKM yang tertakluk kepada Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 iaitu membuat pendaftaran, pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas Taska.

Namun demikian, menurut KPWKM, dalam isu keselamatan kanak-kanak, kementerian melalui JKM merujuk kepada Akta Kanak-Kanak 2001 yang tidak akan berkompromi mengenai keselamatan mereka.

"Menjadi tanggungjawab pengusaha Taska untuk memantau tugas pengasuh bagi memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan selamat di bawah jagaan Taska.

"Sekiranya terdapat kecuaian pengasuh yang mengakibatkan kecederaan kepada kanak-kanak, tindakan segera dengan melaporkan kepada JKM dan pihak polis perlu dibuat," katanya.

KPWKM memaklumkan, dalam isu Taska yang tular itu, JKM akan bekerjasama dengan pihak polis untuk memastikan kanak-kanak yang menjadi mangsa mendapat keadilan sewajarnya.

KPWKM juga meminta kerjasama daripada semua pihak terutamanya ibu bapa untuk melaporkan sebarang isu berkaitan kanak-kanak kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, laporan juga boleh dibuat kepada Talian Kasih di nombor 15999 dan aplikasi

WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam sehari atau terus mengunjungi mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang terdekat. - Bernama