Hafiz Mahamad taja 10 bas balik beraya

Tangkap layar TikTok Hafiz Mahamad.
Tangkap layar TikTok Hafiz Mahamad.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengasas Ainaa Beauty yang juga pempengaruh, Hafiz Mahamad menaja sebanyak 10 bas persiaran bagi kegunaan orang ramai terutama golongan memerlukan untuk pulang beraya sempena Aidilfitri nanti.

Hafiz berkata, penajaan itu membolehkan orang ramai pulang beraya berikutan memahami ramai rakyat mengalami masalah kewangan.

Menerusi hantaran video berdurasi 1 minit 29 saat di laman TikToknya, Hafiz berkongsikan perkembangan terkini mengenai rancangannya dengan meninjau sendiri keadaan bas yang ditaja.

Menurutnya, bas tersebut ditaja kerana memahami ramai rakyat mengalami masalah kewangan.

"Izinkan saya cuba bantu apa yang boleh, tahun lepas dua hingga lima bas kita taja. Insya-ALLAH tahun ini kita taja 10 bas untuk balik raya.

"Saya faham ada yang tengah berkira-kira kos tiket untuk balik raya. Awak (orang ramai) banyak sokong perniagaan saya dan Insya-ALLAH harap awak gembira," katanya.

Tambah, Hafiz bas berkenaan mempunyai dua jenis iaitu satu tingkat dan dua tingkat demi keselesaan golongan yang memerlukan untuk pulang beraya.

"Harap kita dapat beri peluang dekat sahabat yang betul memerlukan seperti pelajar dan keluarga susah.

"Harap juga tak ada batal saat akhir dan tempah main-main. Kesian dekat saya nanti," ujarnya.

Dalam pada itu, Hafiz memaklumkan pihaknya mengambil pemandu bas yang berusia di bawah 40 tahun selain mempunyai pengalaman 10 tahun memandu bas bagi memastikan keselamatan penumpang adalah terjamin untuk pulang beraya ke kampung halaman masing-masing.