Pasang pagar elektrik pilihan akhir henti ancaman gajah liar

Laporan Sinar Harian pada 7 April 2023.
Laporan Sinar Harian pada 7 April 2023.
A
A
A

ALOR SETAR - Pemasangan pagar elektrik di lokasi tumpuan kumpulan gajah adalah pilihan terakhir untuk menghentikan ancaman haiwan liar itu di Pedu, Padang Terap.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Jamalul Nasir Ibrahim berkata, bagaimanapun, setakat ini, belum ada sebarang kelulusan berhubung perkara ini.

Beliau memaklumkan, pemasangan pagar elektrik itu membabitkan kos tinggi termasuklah soal penyelenggaraan yang berterusan.

"Pemasangan pagar elektrik ini perlu dirujuk kepada pihak Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bagi dipertimbangkan peruntukan memandangkan kawasan laluan gajah itu luas.

"Perhilitan Kedah hanya boleh melakukan aktiviti menghambat kumpulan gajah liar yang memasuki kebun di Pedu untuk kembali ke dalam hutan," katanya kepada pemberita pada Jumaat

Beliau berkata sedemikian ketika mengulas kebimbangan penduduk terhadap serangan gajah liar yang memusnahkan tanaman diusahakan mereka.

Jamalun Nasir memaklumkan, pihaknya ada menerima aduan tentang perkara itu daripada penduduk dan pekebun di kawasan yang terjejas.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, kumpulan gajah yang didakwa menceroboh lebih 30 kebun dan dusun di sekitar Kampung Pinang itu berasal dari kawasan hutan di sekitar Pedu dan tidak boleh dipindahkan.

"Ia memang habitat asal kumpulan gajah berkenaan," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penduduk di Kampung Pinang, Pedu di sini, dilanda keresahan dengan kehadiran gajah liar yang memusnahkan kawasan kebun mereka sejak lima bulan lepas.

Penduduk mendakwa kumpulan gajah liar itu bertindak menolak pintu pagar kebun tersebut sehingga tumbang dan memusnahkan sebahagian hasil tanaman mereka.