JKNJ sita produk makanan luput, rosak

Tian Soon berkata sesuatu ketika melawat salah satu gerai di Bazar Ramadan Smart Pandan, pada Khamis.
Tian Soon berkata sesuatu ketika melawat salah satu gerai di Bazar Ramadan Smart Pandan, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bertindak menyita 84 produk makanan di sekitar negeri kerana dikesan dijual melebihi tarikh luput, tin kemek atau pembungkusan yang bocor dan rosak.

Menurut Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri, Ling Tian Soon, kesemua produk makanan tersebut dianggarkan bernilai RM957.01 disita menerusi pemantauan dan penguatkuasaan sejak dua minggu lalu sehingga Rabu.

Menurutnya, setakat semalam, sebanyak dua premis di Mersing telah diarahkan tutup selama tidak lebih 14 hari.

"Kita juga menerima dua aduan berkaitan keselamatan dan kualiti makanan daripada pengunjung bazar Ramadan.

"Aduan ini sedang disiasat dan jika benar berlaku pelanggaran ke atas mana-mana Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009, JKNJ akan ambil tindakan sewajarnya sama ada dikenakan kompaun atau diarahkan tutup tidak lebih daripada 14 hari, " katanya pada program walkabout dan lawatan Bazar Ramadan di Smart Pandan di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Aman Rabu.

Tambah Tian Soon, sebanyak 3,429 premis bazar Ramadan telah diperiksa daripada keseluruhan 8,708 premis yang disediakan dan hasilnya mendapati 98 peratus premis yang diperiksa mempunyai tahap penilaian kebersihan yang baik.

Sementara itu, Tian Soon berkata, pihaknya juga telah mengeluarkan 152 Notis 32B dengan tawaran kompaun bernilai RM26,800 kepada pengusaha premis kerana tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Katanya, peniaga yang diberi notis kompaun tersebut kebanyakannya melakukan kesalahan seperti tidak memakai pelitup kepala, tidak memakai apron, kuku tangan panjang, tidak menutup makanan yang dijual dan beberapa kesalahan lain.

"Kita juga turut melakukan aktiviti pensampelan ke atas makanan yang berisiko tinggi di premis bazar Ramadan dan sebanyak 77 sampel telah diambil bagi tujuan analisis makmal termasuk mengetahui tahap pencemaran mikrobiologi.

"Sekiranya keputusan tidak mematuhi Peraturan-peraturan Makanan 1985, tindakan pendakwaan boleh dikenakan ke atas pengusaha makanan terbabit," katanya.