'JDT bukan penjara' - TMJ

Arif Aiman - Foto JDT
Arif Aiman - Foto JDT
A
A
A

[DIKEMASKINI] PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjawab spekulasi berkaitan bintang sensasi pasukan itu, Arif Aiman Mohd Hanapi yang sebelum ini dikaitkan dengan beberapa pasukan luar negara.

Menurut Tunku Ismail, setakat ini tiada tawaran diterima daripada mana-mana pasukan dan kelab itu tidak mempunyai masalah untuk melepaskan Arif Aiman beraksi di luar negara.

"Buat masa ini kami tidak ada terima mana-mana tawaran, tetapi tanggungjawab saya sebagai pemilik kelab adalah jelas iaitu saya bertanggungjawab dengan nilai komersial kelab dan kejayaan kelab di dalam padang.

"Kalau ada siapa siapa nak, bagi duit tawaran yang boleh memberi JDT manfaat daripada pendapatan tersebut. Kelab kami bukan penjara, sesiapa sahaja boleh keluar dari sini," katanya dalam satu video yang disiarkan di Facebook Johor Southern Tigers pada Khamis.

Sebelum ini, Arif Aiman dilaporkan sedang diintai beberapa kelab dari Jepun dan Korea Selatan selepas mereka terpikat dengan bakat pemain berusia 20 tahun itu.

Kelab Liga 1 Jepun (Liga J), Kashiwa Reysol dikatakan antara kelab yang berminat untuk merekrut Arif Aiman yang kini sudah meledak empat gol dan empat bantuan gol dalam saingan Liga Super musim ini.

Bagaimanapun, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berpandangan bermain di luar negara bukan faktor utama untuk menunjukkan seseorang pemain itu bagus.

Sebaliknya beliau menjelaskan, mungkin pemain tersebut mempunyai kualiti, namun apabila beraksi dalam liga atau perlawanan yang kurang kompetitif selain tidak dapat peluang bermain yang sewajarnya akan memberikan kesan kepada masa depan pemain tersebut.

"Tak semestinya bermain di luar negara bergantung kepada kategori liga yang dapat beri jaminan berada dalam kesebelasan utama atau peluang tambah baik prestasi.

"Saya bagi contoh, Titus James dulu di main di Perancis beberapa tahun, apa sumbangan kepada pasukan kebangsaan?

"Sama juga macam kalau kita tengok Luqman sekarang, Kesian juga saya tengok sebab dia seorang pemain yang baik, ada sikap yang baik. Tapi dengan kurangnya kualiti, minit atau peluang perlawanan. Eropah bukan senang, sama juga Jepun dan Korea.

"Kalau kita tengok Hadi Fayyadh, dia pergi Yakult (yang) bawa. Mana Hadi Fayyadh hari ini? Main dengan Perak. Sama juga dengan Wan Zack Haikal dan pertahanan kiri, Nazirul Naim tak silap saya. Tak semestinya semua yang bermain di luar negara itu awak semua harus sanjung," katanya.

Tunku Ismail juga menegaskan JDT turut memberikan pendedahan yang tinggi kepada pemain dengan menentang pasukan berkualiti selain beraksi di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

"Seperti contoh, kami beraksi dalam ACL, lawan pasukan 10 kali ganda lebih baik daripada kami. Itu adalah satu pengalaman yang bagus bagi mana-mana pemain yang beraksi dalam pasukan bola sepak JDT.

"Kami boleh lihat sendiri kualiti perlawanan dan kualiti latihan. Jadi, tak semestinya main di luar, main bagus. Pandangan saya, saya tak setuju dengan pendapat itu (bermain di luar negara semuanya bagus)," katanya.