Bapa didakwa bunuh bayi enam bulan

Zahrul Ashrik dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan membunuh anak kandungnya berusia enam bulan, Mac lalu.
Zahrul Ashrik dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan membunuh anak kandungnya berusia enam bulan, Mac lalu.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Seorang jururawat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis atas pertuduhan membunuh anak kandungnya berusia enam bulan, Mac lalu.

Tertuduh, Zahrul Ashrik Zulkaflee, 30, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jessica Daimis namun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada anak lelakinya di sebuah rumah di Kampung Kepayang, Fair Park di sini sekitar jam 10 malam, 17 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syahirah Azahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 Jun ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) oleh ibunya pada 8 Mac lalu selepas dilihat dalam keadaan lemah akibat muntah yang kerap.

Menurutnya, mangsa merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu dipercayai didera kerana terdapat pendarahan di otak dan kesan patah yang telah sembuh di bahagian tangan kiri.

"Mangsa dibenarkan keluar wad pada 16 Mac lalu namun dimasukkan semula ke hospital dua hari kemudian. Mangsa bagaimanapun meninggal dunia pada 20 Mac lalu.

"Hasil bedah siasat menunjukkan punca kematian bayi terbabit akibat pendarahan bawah selaput otak dan kes pada awalnya disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2017 telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi di sini.

Yahaya berkata, suspek, ibu mangsa berusia 26 tahun dan adik wanita itu telah ditangkap pada 26 Mac lalu dan direman selama 12 hari bagi membantu siasatan.

"Bapa mangsa telah dituduh di mahkamah manakala isteri dan adik wanita itu dijadikan saksi pendakwaan," katanya.