Belum masanya umum sasaran pingat

Mohd Nasir (kiri) ketika meninjau persiapan skuad karate negara menjelang temasya Sukan SEA 2023
di MSN, Bukit Jalil baru-baru ini.
Mohd Nasir (kiri) ketika meninjau persiapan skuad karate negara menjelang temasya Sukan SEA 2023 di MSN, Bukit Jalil baru-baru ini.
A
A
A

SASARAN pingat emas kontinjen Malaysia pada Sukan SEA Kemboja 2023 dijangka diumumkan selepas sambutan Aidilfitri hujung bulan ini.

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali berkata, pihaknya masih belum menerima laporan prestasi atlet dan pasukan yang akan ke menyertai temasya dwitahunan di Phnom Penh itu.

Beliau memberitahu, masih ada dalam kalangan atlet berada di luar negara sama ada menyertai kejohanan atau menjalani latihan.

“Kita masih belum terima laporan tahap prestasi atlet untuk nilai potensi (peluang raih emas) mereka.

“Sebelum Syawal ini akan diadakan mesyuarat bersama MSN (Majlis Sukan Negara) dan pengurus-pengurus pasukan untuk dapatkan maklum balas daripada mereka.

“Ramai yang ternanti-nanti tentang sasaran ini. Saya ingat selepas Aidilfitri, kita umum,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Pada temasya di Hanoi, Vietnam tahun lalu, Malaysia meraih 36 emas, 45 perak dan 90 gangsa, manakala bagi edisi 2019 di Manila, Filipina, Malaysia membawa pulang 56 emas, 57 perak dan 71 gangsa.

Menurut Mohd Nasir, ramai dalam kalangan atlet yang akan menggalas cabaran negara pada temasya itu adalah kali pertama beraksi di pentas antarabangsa.

“Mereka adalah atlet Sukma (Sukan Malaysia) yang masih muda berusia awal 20-an. Ini adalah pengalaman pertama dan mereka juga berpotensi (raih emas),” ujarnya.

Mengulas isu doping, beliau memberitahu, Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) melakukan ujian tersebut daripada semasa ke semasa bagi memastikan semua atlet ‘bersih’ sebelum ke Kemboja.

Mohd Nasir berkata, siri ceramah dan kursus turut diadakan agar para atlet mendapat gambaran jelas berhubung perkara tersebut.

“Isu ini (doping) bergantung pada diri sendiri... ia mudah sahaja. Jika berasa sangsi dengan ubat atau suplemen yang mahu diambil, rujuk kepada ISN (Institut Sukan Negara),” jelas beliau.