World#QuranHour dapat sambutan memberangsangkan

World #QuranHour yang akan berlangsung di setiap Rumah Ngaji seluruh Malaysia pada 13 April ini. - Gambar hiasan.
World #QuranHour yang akan berlangsung di setiap Rumah Ngaji seluruh Malaysia pada 13 April ini. - Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] World #QuranHour yang akan berlangsung di setiap Rumah Ngaji seluruh Malaysia pada 13 April ini bakal mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada kalangan pencinta al-Quran.

Penggerak Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Manjung, Perak, Datin Maziah Rafie berkata, pihaknya menjangkakan seramai 50 orang menyertai program itu.

Jelas beliau, majlis tersebut diharapkan dapat memberi makna yang besar kepada masyarakat sekitar dari segi penghayatan al-Quran di sekitar pemukiman berkenaan.

“Semenjak penubuhannya pada 2018, kami sentiasa turun padang bertemu dengan penduduk dalam memberi penerangan dan tunjuk ajar tentang pendidikan terhadap kitab suci ini.

“Oleh itu, pada program World#QuranHour, ia sangat diharapkan dapat menjadi satu titik memperkasakan lagi usaha kami memartabatkan al-Quran.

“Majlis yang mendapat kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di tempat kami ini akan bermula dua hari lebih awal berbanding di lokasi lain atas beberapa faktor,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu, pihak Rumah Ngaji Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan berharap, program World#QuranHour tersebut dapat menerapkan jiwa kemanusiaan dan ketakwaan dalam kalangan peserta selaras dengan konsep surah Al-Insan yang akan dibawa.

Penggeraknya, Profesor Dr Norita Md Norwawi berkata, pembawaan surah itu dilihat amat bertepatan dengan sifat kesederhanaan dalam kalangan penduduk di komuniti taman berkenaan.

“Dengan kesederhanaan yang dimiliki oleh mereka, kita perkuatkan lagi dengan penghayatan al-Quran yang menjadi tunggak kehidupan setiap muslim,” ujarnya yang juga merupakan pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Berkongsi pandangan sama, Penggerak Rumah Ngaji Ampang@Akademi Al-Quran Al-Bayan, Selangor, Norhaida Kasim berkata, program World#QuranHour diharapkan dapat menjadi titik permulaan terhadap pembinaan sahsiah dan keinsanan dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

“Dengan pembinaan jati diri dan peribadi yang baik berdasarkan al-Quran, maka di situlah makna kesyukuran yang sejajar dengan surah Al-Insan dapat dibina,” tambah beliau.