SPAN nafi tarif air naik

Charles Santiago
Charles Santiago
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menafikan bahawa pihaknya mengumumkan kenaikan tarif air sekitar RM10 hingga RM15 seperti yang dinyatakan oleh sebuah portal berita sebelum ini.

Pengerusinya, Charles Santiago berkata, menerusi sesi wawancara bersama portal terlibat, pihaknya tidak sama sekali menyebut mengenai sebarang peratusan atau harga kenaikan tarif air di negara ini.

Menurut Charles, pihaknya hanya berkongsikan maklumat mengenai konsultasi awam yang sedang dijalankan berhubung proses tersebut.

"Dalam wawancara tersebut, saya berkongsi tentang empat isu iaitu penjimatan air, mekanisme penetapan tarif air, pengurusan air adalah tanggungjawab bersama semua pihak dan polisi pencegahan rasuah demi mengurangkan tarif air," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Charles yang juga merupakan Ahli Parlimen Klang turut menyatakan bahawa kali terakhir Pahang menaikkan tarif air adalah pada 36 tahun lalu dan bukannya 38 tahun seperti yang dilaporkan oleh portal berkenaan.

Ujar beliau, pihaknya juga tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang pengumuman mengenai kenaikan tarif air berikutan perkara tertakluk di bawah bidang kuasa Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

"Hanya menteri terlibat berkuasa membuat sebarang pengumuman berkaitan dengan tarif air selepas mendapat persetujuan daripada Kabinet dan kerajaan-kerajaan negeri berkaitan," katanya.

Artikel Berkaitan: