Anak Hamzah Zainuddin didakwa kemuka dokumen palsu

Muhammad Faisal (kanan) hadir di mahkamah ditemani rakannya.
Muhammad Faisal (kanan) hadir di mahkamah ditemani rakannya.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMASKINI] Anak kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini pada Rabu atas sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup(KPDN) dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan pada tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Faisal Hamzah, 39, yang ketika kejadian merupakan pengarah syarikat Rimba Merpati Sdh Bhd bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Mazni Nawi selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Turut berdepan tuduhan sama iaitu Azizul Abdul Halim, 55, yang juga merupakan pengarah syarikat sama ketika kejadian.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh sebagai pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd sebagai pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak masak telah memberikan maklumat palsu kepada KPDN.

Maklumat itu diberi semasa mengemukakan maklumat dalam borang arahan mengemukakan dokumen atau maklumat yang berada dalam simpanan berkaitan barang kawalan di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 berhubung Dokumen / Invoice Penjualan Minyak Masak kepada Pasar Segar Din Maju.

Kesalahan itu dilakukan pada 12 Ogos 2022, lebih kurang jam 5.00 petang di pejabat KPDN, Seremban 2.

Berikutan itu mereka didakwa di bawah Seksyen 8 ( 4 ) ( b ) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah seksyen 22 ( 2 ) akta sama.

Selain itu, tertuduh selaku pemegang lesen borong juga telah didapati melanggar Peraturan 9 ( 1 ) Peraturan - Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan berjadual jenis minyak masak melebihi had 50.00 MT

Kesalahan itu dilakukan pada 11 Ogos 2022, jam 11.15 malam di Premis Perniagaan Rimba Merpati Sdn Bhd di Kawasan Industri Sinar Andalas, Senawang di Seremban.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 22 ( 1 ) Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama seksyen 22 ( 4 ) akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Mohd Sophian Zakaria tidak menawarkan jaminan tetapi memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan tinggi jika ia diberi kepada tertuduh dengan mengambil kira sembilan pertuduhan disabitkan terhadap mereka.

Menurutnya, ini kerana ia melibatkan barang kawalan minyak masak yang mana ia adalah kes berkepentingan awam.

"Seperti semua maklum yang kerajaan amat memberi penekanan terhadap makanan seperti minyak masak yang menjadi krisis di negara kita,"katanya.

Peguam, Qurratu 'Aini Zafirah Mat Shoib ketika membuat rayuan mewakili kedua-dua tertuduh berkata, mahkamah tidak sewajarnya terpengaruh dengan jumlah pertuduhan terhadap tertuduh yang belum lagi dibuktikan bersalah di mahkamah.

Katanya, wang jaminan tidak boleh bersifat berlebihan kerana boleh menyebabkan berlakunya ketidakadilan serta tidak mengikut prinsip undang-undang.

"Tertuduh juga telah beri kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat semasa siasatan dijalankan dan ini juga merupakan kali pertama tertuduh didakwa di mahkamah.

"Tiada risiko untuk Muhammad Faisal melarikan diri kerana dia menetap di Ampang, Selangor bersama isteri yang sedang sarat mengandung serta tiga anak manakala Azizul pula yang menetap di Kuantan tidak lagi bekerja dan mempunyai 10 anak yang empat daripadanya masih bersekolah,"katanya.

Tambahnya kedudukan ekonomi kedua-dua tertuduh juga perlu diambil kira.

Mahkamah menetapkan jaminan bagi setiap tertuduh RM40,000 dan sebutan semula kes untuk serahan dokumen 7 Jun ini.