Dr Mahathir tidak dapat maklumat tepat

AHMAD AMZAD HASHIM
AHMAD AMZAD HASHIM
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kefahaman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Perlembagaan Johor dan Terengganu terbatal apabila Tanah Melayu dibentuk menunjukkan seolah-olah beliau tidak mendapat maklumat yang betul dan tepat mengenai Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, Malaysia bukanlah negara kesatuan yang memberi kuasa tunggal dan mutlak kepada kerajaan Pusat.

Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan lahir daripada kuasa dan bidang kuasa yang diberikan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri-negeri.

Malah, sebelum tahun 1948, kerajaan-kerajaan negeri Melayu sudah memiliki Perlembagaan bertulis masing-masing pasca Hukum Kanun Melaka.

“Suatu Perlembagaan tidak semestinya dalam satu format sahaja, asasnya adalah keterangan tentang kenegaraan dan prinsip Ketatanegaraan sebuah kerajaan berdaulat, sama ada bertulis atau tidak bertulis.

“Kerajaan Melayu Terengganu menyusul Kerajaan Melayu Johor dalam konteks penginstitusian sebuah Perlembagaan atau Undang-Undang Tubuh dalam bentuk moden.

“Dari sudut sejarah perundangan, Undang-Undang Tubuh Bagi Diri Kerajaan Terengganu adalah tambahan kepada Itqanul Muluk bi Ta'adil asSuluk 1911v (Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu 1911),” katanya.

Jelas Amzad, peruntukan teras Itqanul Muluk tidak boleh dibinasakan atau diubah kerana itu termasuk dalam tegahan seperti terkandung di dalamnya dan tambahan kepada Itqanul Muluk dibuat untuk mengabsahkan Perjanjian Terengganu 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Artikel Berkaitan:

Selanjutnya, ia dipinda untuk bersekutu dengan Kerajaan-kerajaan Negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

“Tuduhan bahawa Itqanul Muluk telah dimansuhkan adalah satu kenyataan liar yang tidak menghormati kedudukan Kerajaan Kesultanan Melayu Terengganu, salah satu daripada 9 Kesultanan Melayu yang telah mendirikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.

“Sebagai sebuah Persekutuan, kewujudan Kerajaan Negeri dan Undang-Undang Tubuhnya perlu dihormati. Sesungguhnya, kuasa Kerajaan Persekutuan pada hari ini bersumberkan daripada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri-negeri Melayu, dan dua buah negeri Selat yang diserahkan kedaulatannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Bahkan, Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan sendiri menjamin kedudukan Perlembagaan negeri,” katanya.

Jelas Amzad, beliau memahami kekhilafan pandangan Dr Mahathir kerana beliau bukanlah pakar perlembagaan, namun Peguam Negara, Tommy Thomas sepatutnya memberikan nasihat undang-undang kepadanya.

Namun, Tommy sekali lagi gagal melaksanakan tanggungjawabnya untuk memberikan nasihat yang betul.