Melaka wujudkan semula jawatan Timbalan Exco

Ab Rauf ketika sidang akhbar selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di di Balai Istiadat Dewan Seri Negeri di Ayer Keroh pada Rabu.
Ab Rauf ketika sidang akhbar selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di di Balai Istiadat Dewan Seri Negeri di Ayer Keroh pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka akan mewujudkan semula jawatan Timbalan Exco yang dimansuhkan pada 2018 bagi memantapkan perkhidmatan dan kerjasama dalam kalangan Exco yang baharu dilantik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, barisan Timbalan Exco yang akan dilantik itu membabitkan Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Kerajaan Perpaduan dan diumumkan selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri (MMKN) pada Khamis.

Menurutnya, jawatan yang dimansuhkan sejak lima tahun itu bertujuan untuk membentuk barisan kepimpinan yang lebih mantap bagi membangunkan Melaka.

"Semua akan dapat (Timbalan Exco), semua akan ada timbalan, esok saya umumkan, hari Khamis," katanya ketika sidang akhbar selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di di Balai Istiadat Dewan Seri Negeri di Ayer Keroh di sini pada Rabu.

Ditanya sama ada jawatan timbalan itu satu pembaziran atau tidak, beliau yang juga Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hak Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET berkata, pada era ini adalah lebih sesuai untuk setiap Exco mempunyai jawatan Timbalan Exco bagi membolehkan semua wakil rakyat bekerjasama membangunkan Melaka.

Menurutnya, pentadbiran dahulu berbeza dengan sekarang dan pada masa ini pentadbiran beliau memerlukan semua wakil rakyat mempunyai peranan bersama memajukan Melaka dan menjaga kebajikan rakyat.

"Terserah kepada pucuk kepimpinan ketika itu, tapi bagi saya ketika ini saya memerlukan semua untuk diberikan peranan bersama saya bangunkan Melaka," katanya.

Sinar Harian ini melaporkan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka membabitkan sembilan ADUN Barisan Nasional (BN) dan seorang daripada Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri, di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada Rabu.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka itu diadakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.