'Penjawat awam jangan terlalu terbuka nyata sokongan'

Mohamad Taufek pada Persidangan DUN Negeri Sembilan, hari ini.
Mohamad Taufek pada Persidangan DUN Negeri Sembilan, hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Penjawat awam di Negeri Sembilan dinasihatkan supaya tidak terlalu terbuka mendedahkan pegangan fahaman politik mereka di media sosial.

Exco Belia dan Sukan, Mohamad Taufek Abd Ghani (Amanah-Paroi) berkata, keadaan itu dikhuatiri mengundang rasa ragu-ragu rakyat terhadap perkhidmatan diberi sehingga boleh menjejaskan mutu perkhidmatan kerajaan.

“Bagi kita pegangan politik adalah hak setiap individu dan sebagai pegawai kerajaan mereka juga boleh tentukan pendirian politik mereka.

“Tapi adalah sangat tidak wajar apabila dedahkan secara terbuka sokongan mereka dalam media sosial yang akhirnya menyebabkan rakyat rasa ragu dengan perkhidmatan diberi kerana rakyat yang dapatkan perkhidmatan terdiri daripada pelbagai golongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Persidangan DUN Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Menurutnya, setiap penjawat awam tertakluk kepada Perkara 4(1) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tata Tertib 1993) yang memerlukan setiap masa memberi taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan.

Mohamad Taufek berkata, kerajaan PH juga tidak akan bertindak seperti kerajaan BN terdahulu yang menukar atau memecat mana-mana penjawat awam yang menyokong pembangkang.

“Saya mahu ingatkan kerajaan terdahulu, mereka bukan sahaja menukar, bahkan memecat. Sebagai contoh berlaku pada tahun 2011, apabila imam di Masjid Jamek Kelana Petra, Ampangan dan Masjid Jamek Rembau yang dipecat tanpa alasan kukuh.

Artikel Berkaitan:

“Kita kerajaan baru telah ambil alih 11 bulan dan kita tidak pernah memecat seorang pun ahli jawatankuasa masjid, tapi kita mendemokrasikan pemilihan ahli jawatankuasa masjid dengan serahkan kepada ahli kariah untuk pilih siapa yang layak,” katanya.