'Tangguhkan dahulu kutipan cukai terhadap vape' - GKM

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Kesihatan Malaysia (GKM) menggesa supaya kerajaan menangguhkan terlebih dahulu kutipan cukai eksais ke atas cecair nikotin dan gel yang digunakan dalam vape sehingga Rang Undang-Undang Peraturan dan Kawalan Tembakau diluluskan.

Menurut gabungan tersebut, ia kerana tiada sebarang akta yang dapat mengimbangi sebarang implikasi buruk daripada produk berkenaan pada masa sekarang.

“Status e-rokok dan peranti vape adalah tidak tertulis dan tidak jelas, tanpa sebarang peraturan untuk mengawal penggunaan atau mengurangkan bahayanya kepada populasi yang terdedah seperti kanak-kanak atau remaja.

“Kami amat mengambil berat tentang implikasi kesihatan awam akibat penggunaan vape dan tembakau, terutamanya dalam kalangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas GKM, apa yang mengecewakan bagi pihaknya ketika ini, cecair dan gel nikotin dikecualikan daripada Akta Racun 1952 bagi membolehkan cukai eksais terhadap produk itu dilaksanakan secara sah tanpa sebarang akta yang mengawalnya.

Tambah gabungan tersebut, peraturan atau kawalan ketat terhadap penggunaan barangan berkenaan hakikatnya dapat membawa Malaysia sejajar dengan prinsip negara lain di peringkat antarabangsa.

“Negara yang sebahagian atau sepenuhnya mengharamkan vape termasuk Australia, Argentina, Brazil, Kanada, Hong Kong Indonesia, Qatar, Singapura, Thailand dan banyak negeri di Amerika Syarikat.

“Kami menggesa kerajaan untuk membahaskan dan membuat keputusan mengenai status undang undang vape di Malaysia sebagai sebahagian daripada rang undang-undang tersebut.

“Kami seterusnya menggesa kerajaan untuk mengenakan peraturan yang lebih ketat secara beransur-ansur ke atas tembakau secara keseluruhan,” katanya.

Ujar GKM, ia merupakan cita-cita bagi menjadikan Malaysia sebagai negara sifar merokok sehingga tiada cukai daripadanya diambil.