Perubahan pengguna berbelanja jadi ancaman terbesar telco

Kegagalan untuk membuat penyesuaian semula terhadap pola pemikiran baharu pengguna untuk berbelanja akan menjadi ancaman terbesar kepada telco. - Gambar hiasan
Kegagalan untuk membuat penyesuaian semula terhadap pola pemikiran baharu pengguna untuk berbelanja akan menjadi ancaman terbesar kepada telco. - Gambar hiasan
A
A
A

KEGAGALAN syarikat telekomunikasi (telco) untuk membuat penyesuaian semula terhadap pola pemikiran baharu pengguna untuk berbelanja akan menjadi ancaman terbesar kepada telco, kata EY Research.

Menurutnya, ini berikutan peningkatan kos sara hidup telah mendorong pengguna untuk menyesuaikan semula keutamaan perbelanjaan mereka.

Berdasarkan laporan telekomunikasi EY 2023 berkenaan 10 risiko utama, dianggarkan sebanyak 60 peratus daripada isi rumah bimbang terhadap kenaikan harga langganan jalur lebar dan 45 peratus lagi percaya mereka membayar lebih untuk perkhidmatan kandungan.

"Walaupun kebolehpercayaan rangkaian kekal sebagai aspek yang tidak memuaskan hati pengguna, daya tahan dan capaian infrastruktur telah merosot daripada kedudukan pertama ranking buat julung kalinya sejak bermulanya pandemik Covid-19 -- kini kepada tangga kelima berikutan cabaran lain yang menjadi lebih mendesak,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pemimpin EY Global Telecommunications Tom Loozen berkata, dalam persekitaran ekonomi hari ini, pengguna amat menumpukan kepada nilai yang diperoleh daripada penyedia telco.

"Ancaman ini diburukkan lagi dengan meningkatnya tekanan daripada pengawal selia, dan sebahagiannya meminta telco melakukan lebih banyak usaha untuk menawarkan tarif sosial kepada pengguna.

"Sebagai tindak balas, telco mesti menghasilkan cadangan yang jelas, mudah dan selamat yang melegakan dan menarik pelanggan,” katanya.

Sementara itu, rakan kongsi Ernst & Young Consulting Sdn Bhd, Susanna Lim berkata, pelanggan dijangka lebih sensitif terhadap penentuan harga berikutan kadar inflasi tinggi.

"Di Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan pelan data prabayar terdiskaun berharga RM5 sebulan, dinamakan Pakej Perpaduan.

"Pakej ini bertujuan meningkatkan kebolehcapaian Internet di samping mengurangkan kos sara hidup individu bagi kumpulan berpendapatan rendah, terutamanya kumpulan ekonomi B40, veteran, orang kurang upaya dan warga emas,” katanya.

Sementara itu, EY Research turut mendedahkan sebanyak 76 peratus telco melaporkan peningkatan tahunan serangan siber, menjadikan keselamatan siber sebagai risiko kedua.

Rakan kongsi Ernst & Young Consulting Sdn Bhd, Jason Yuen berkata, serangan keselamatan siber telah bertambah di Malaysia dan negara-negara jiran yang menyebabkan telco meningkatkan pelaburan ke arah mewujudkan perniagaan yang berdaya tahan dari segi siber.

Laporan itu turut menjelaskan bahawa pengurusan agenda kemampanan yang lemah menjadi ancaman yang semakin menekan industri, meningkat daripada kedudukan kelima pada tahun lepas kepada tangga keempat untuk ranking 2023.

"Kualiti pendedahan perubahan iklim dalam kalangan pengendali telco telah merosot tahun ke tahun, dan 39 peratus daripada responden tidak mendedahkan strategi sifar bersih tertentu, pelan peralihan atau strategi penyahkarbonan walaupun permintaan yang semakin bertambah bagi tindakan ketara daripada semua pihak berkepentingan,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Lim berkata syarikat-syarikat ini mesti mengakui peranan penting mereka sebagai ejen untuk mewujudkan masyarakat lebih mampan dan melaksanakan langkah yang sewajarnya. - Bernama