'Tiada isu jika yang dilantik layak, berkebolehan'

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Lantikan ahli politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah bagi memastikan agensi berkenaan berkembang sealiran dengan pentadbiran kerajaan semasa.

Ketua UMNO Bahagian Bangi, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, wakil dalam GLC perlulah orang dipercayai oleh kepimpinan negara dan tidak pernah berlaku mereka yang dilantik adalah daripada pihak pembangkang.

"Tidak dinafikan semua parti yang pernah menerajui negara akan melantik orang politik dalam GLC. Bagi saya ia tiada isu selagi individu yang dilantik itu benar-benar layak dan mempunyai kebolehan.

"Bagaimana mesej dan perkhidmatan mahu sampai kepada orang bawahan kalau di peringkat atasan tidak sehaluan. Yang menjadi kesalahan apabila lantikan itu berdasarkan status kawan atau keluarga," ujarnya.

Wacana Sinar Harian bertajuk 'Risiko lantik orang politik terajui GLC’ bersama (dari kiri) hos Ismail Adnan; ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli; Mohd Zaidi dan Timbalan Pengarah Penyelidikan IDEAS, Sri Murniati Yusuf yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID
Wacana Sinar Harian bertajuk 'Risiko lantik orang politik terajui GLC’ bersama (dari kiri) hos Ismail Adnan; ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli; Mohd Zaidi dan Timbalan Pengarah Penyelidikan IDEAS, Sri Murniati Yusuf yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar siri 391 bertajuk ‘Risiko Lantik Orang Politik Terajui GLC’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panel ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli dan Timbalan Pengarah Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Sri Murniati Yusuf manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Tambah Mohd Zaidi, amanah yang diberikan itu perlulah dilaksanakan dengan baik tidak kira sama ada orang politik atau pun bukan.

"Mungkiri amanah ini tidak kira individu, orang politik atau biasa semuanya bergantung pada diri sendiri.

"Kalau betul ada kesalahan pecah amanah lapor kepada pihak berkenaan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan," jelasnya.