BNM dijangka kekalkan status quo OPR

BNM dijangka mengekalkan status quo OPR semasa mesyuarat jawatankuasa dasar monetari pada Julai tahun ini.
BNM dijangka mengekalkan status quo OPR semasa mesyuarat jawatankuasa dasar monetari pada Julai tahun ini.
A
A
A

BANK Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan status quo kadar dasar semalaman (OPR) semasa mesyuarat jawatankuasa dasar monetari (MPC) pada Julai tahun ini, disokong oleh kestabilan makroekonomi semasa Malaysia, kata seorang ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed berkata, bank pusat telah menetapkan matlamat monetari yang bijak dan berhemat. Sehubungan itu, ia berjaya mengekalkan kestabilan harga, monetari serta pertumbuhan dan yang paling penting kestabilan struktur ringgit.

"Pada Oktober 2022, ringgit diniagakan pada RM4.78 dan orang ramai mula mengandaikan yang mata wang tempatan akan mencecah RM5.50 dan RM6 berbanding dolar AS dan ringgit akan jatuh merudum. Kami tidak setuju dengan pandangan ini.

"Pada 24 November 2022 apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai PM ke-10, ringgit diniagakan pada RM4.48 berbanding dolar AS. Unit tempatan meningkat 1.5 peratus dalam tempoh kurang daripada empat jam selepas pengumuman itu dibuat.

"Bagi tahun ini, ringgit dijangka diniagakan antara paras RM4.10 dan RM4.37 berbanding dolar AS dan harga minyak bergerak antara paras AS$83 dan AS$127 setong,” katanya kepada Bernama.

Shan berkata, ringgit akan disokong oleh tiga pemboleh ubah, iaitu harga minyak tinggi, keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang dijangka berkembang antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus dan kestabilan makroekonomi.

Beliau juga berpandangan lawatan Anwar ke China baru-baru ini akan menyaksikan lonjakan dalam perdagangan bersama-sama dengan kestabilan makroekonomi dan harga komoditi tinggi.

"Selain itu, defisit belanjawan dan nisbah hutang berbanding KDNK Malaysia dijangka turun kerana negara akan mendapat manfaat daripada harga komoditi tinggi, yang memberi ruang kepada pergerakan fiskal. Jadi BNM dijangka terus mengekalkan OPR,” katanya.

Shan juga menegaskan penghargaan perlu diberikan kepada Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus kerana beliau telah mengambil langkah lebih awal yang berhemat pada 2020.

Gabenor, katanya, telah menurun OPR daripada tiga peratus kepada 1.75 peratus dan secara perlahan-lahan dan sangat berstruktur telah menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas yang menunjukkan keyakinan BNM terhadap ekonomi.

Sementara itu, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat telah menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas, dan beberapa bank pusat lain malahan sehingga 200 mata asas. Ia menunjukkan situasi panik bank-bank pusat tersebut, katanya.

"Gabenor BNM telah mengambil beberapa langkah bijak dan BNM menjalankan tugas dengan baik. Dengan OPR berada pada 2.75 peratus ketika ini, saya percaya tidak perlu untuk menaikkan kadar, yang mana ia akan merangsang pertumbuhan KDNK. Apa yang paling penting adalah angka eksport makin meningkat.

"Kami optimis dengan prospek ekonomi Malaysia pada 2023,” katanya. - Bernama