'Jangan sekejap ada, sekejap tiada'

Pandelela menyumbang pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2012 di London.
Pandelela menyumbang pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2012 di London.
A
A
A

RATU terjun negara, Datuk Pandelela Rinong berharap agar projek 'Road To Gold' (RTG) memberi fokus kepada menyediakan semula khidmat sokongan lebih konsisten kepada atlet kebangsaan.

Pandelela berkata, dia mendapat khidmat sokongan seperti pasukan sains sukan ketika beraksi pada dua Olimpik iaitu edisi 2012 di London dan edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, yang membantunya menyumbang pingat pada temasya sukan terbesar dunia itu.

"Diharapkan selepas ini khidmat sokongan lebih konsisten, jangan sekejap ada, sekejap tiada. Seperti ketika di London dan Rio kami mempunyai tukang urut dan (khidmat) biomekanik sukan, namun untuk Tokyo 2020 tiada (khidmat sokongan)," katanya kepada pemberita pada Kejohanan Terjun Kumpulan Umur Jemputan (MIAG) ke-58 di Kuala Lumpur pada Isnin.

Pandelela berkata, atlet terjun memerlukan analisis video ketika latihan dan pertandingan dan tanpa khidmat sokongan berkenaan sukar bagi mereka mempamerkan aksi konsisten.

Pandelela mencipta sejarah apabila muncul atlet wanita pertama negara menyumbang pingat (gangsa) di Sukan Olimpik pada edisi 2012 bagi acara 10 meter (m) platform dan kemudian meraih perak dalam 10m platform seirama, bergandingan bersama Cheong Jun Hoong, pada edisi 2016.

Bulan lepas, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan pembentukan pasukan projek RTG dengan objektif menyelaras usaha negara dalam memburu pingat emas sulung di Sukan Olimpik.

Dalam pada itu, atlet dari Sarawak tersebut yakin bahawa barisan penerjun junior mampu menyinar, sekali gus mengekalkan dominasi Malaysia dalam Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

Januari lepas, penolong jurulatih, Datuk Leong Mun Yee mengumumkan skuad terjun elit tidak akan menyertai Sukan SEA 2023 di Kemboja, bagi memberi pendedahan kepada penerjun muda di peringkat antarabangsa.

Terdahulu, Pandelela yang mewakili pasukan kebangsaan menepati ramalan apabila menjuarai 10m platform dengan mengutip 326.05 mata diikuti penerjun Sarawak, Eilisha Rania Abrial Rajagopal (235 mata) dan wakil Singapura, Ong Rei En meraih gangsa (208.25 mata).

Mengulas aksinya pada Isnin, Pandelela berkata, dia lega dapat kembali merasai pengalaman bertanding selepas kali terakhir bersaing pada Grand Prix (GP) Terjun Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) di sini, November lepas.

Katanya, pertandingan kali ini merupakan platform baginya menyiapkan diri bagi membawa cabaran negara pada Piala Dunia Terjun 2023 di Montreal, Kanada pada 5 hingga 7 Mei ini.

Sementara itu, penerjun kebangsaan menguasai podium dalam acara 10m platform lelaki menerusi Bertrand Rhodict yang meraih 404.15 mata untuk memenangi emas, menewaskan Jellson Jabilin yang merangkul perak (372.10 mata) dan Enrique Maccartney meraih gangsa (338.75 mata). - Bernama