Pertukaran KM Melaka, KJ dakwa 'langkah' Zahid kukuh kedudukan

Khairy ketika siaran Keluar Sekejap.
Khairy ketika siaran Keluar Sekejap.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa kemelut pertukaran Ketua Menteri Melaka sebagai 'langkah' Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai presiden parti.

Beliau mendakwa, ini kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ingin memastikan semua menteri besar atau ketua menteri terdiri daripada 'orangnya'.

"Sekarang ini ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO majoriti adalah orang dia (Ahmad Zahid) (dan) lepas ini dia hendak pastikan negeri-negeri iaitu pengerusi UMNO negeri dan ketua menteri adalah juga orang dia.

"Inilah (dengan menukar Ketua Menteri Melaka) masa yang terbaik," katanya melalui siaran podcast 'Keluar Sekejap' episod kesembilan bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Pada Jumaat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di Dewan Sri Utama Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka di Ayer Keroh.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Rahsia berkenaan dilakukan di hadapan Yang di-Pertua, Tun Mohd Ali Rustam di dewan berkenaan

Sebelum itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

Jelas Ahmad Zahid, Sulaiman mengambil tindakan untuk melepaskan jawatan itu disebabkan faktor kesihatan.

Sementara itu, Khairy dalam masa sama turut mengakui agak terkilan dengan cara Sulaiman 'disingkirkan'.

Bagaimanapun, beliau mengakui Sulaiman tidak mampu mengatasi pengaruh politik yang dimiliki Abd Rauf untuk membolehkan beliau kekal menerajui negeri itu.

Malah katanya, sudah diketahui ramai juga Ab Rauf hanya menunggu masa untuk merampas kedudukan daripada Sulaiman sebelum ini.