Bekalan air dijangka pulih sebelum 8 April - Exco

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PARIT - Bekalan air yang menjejaskan hampir 80,000 akaun pengguna di daerah Manjung dan Perak Tengah dijangka pulih sepenuhnya sebelum 8 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, ketika ini kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan oleh pihak kontraktor selepas berlakunya gangguan bekalan utiliti tersebut sejak Jumaat lepas.

"Proses pembaikan turut melibatkan kerja-kerja struktur seperti penambakan dan pemasangan cerucuk yang menyebabkan ia mengambil masa selain membabitkan kos yang agak tinggi.

"Pihak Lembaga Air Perak (LAP) menjangkakan bekalan air ke kawasan terjejas terutamanya dapat pulih kira-kira 50 peratus pada esok berdasarkan kerja-kerja pembaikan yang dilakukan," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja pembaikan tersebut di Loji Rawatan Air (LRA) Teluk Kepayang, Bota di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohamad Nizar berkata, LAP telah membuat perancangan untuk menaik taraf rumah pam di LRA Teluk Kepayang namun berlaku kerosakan di luar jangka sebelum proses naik taraf dapat dilaksanakan.

Beliau berkata, kos pembaikan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan jumlah kos sebenar akan dapat diketahui selepas kerja-kerja pembaikan siap sepenuhnya.

Katanya lagi, gangguan bekalan air berlaku akibat daripada pergerakan tanah di muka sauk sehingga mengalihkan kedudukan paip air mentah bersaiz 1,200 milimiter (mm) diameter di dalam tanah di LRA Teluk Kepayang menyebabkan paip tersebut putus dan air mentah tidak dapat disalurkan ke loji rawatan air.

Menurutnya sebanyak tujuh negeri iaitu Selangor, Kedah, Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu dan Melaka turut menghulurkan bantuan bekalan air semasa tempoh gangguan bekalan air selain LAP juga meletakkan 48 unit tangki statik dan lori tangki di sekitar lokasi terjejas.

Sebanyak 79,360 akaun pengguna di Daerah Manjung dan Perak Tengah mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak tengah hari Jumaat lepas akibat paip air mentah bocor di muka sauk LRA.

Antara kawasan yang terjejas di Daerah Manjung ialah Ayer Tawar, Sitiawan, Seri Manjung, Lekir ke Kayan, Pangkor dan Lumut manakala di Daerah Perak Tengah pula melibatkan seluruh kawasan Seberang Perak, Changkat Lada, Kampung Gajah, Bukit Chawi, Simpang Ranggam dan Hujung Rintis. - Bernama